Haji Mohammed Salleh @ Nakhoda Intan Pengasas Pulau Pinang

Sejarah Awal Masyarakat Islam di Pulau Pinang dan Masjid Jamik Batu Uban. Demikianlah judul penulisan saya yang julung-julung kalinya diterbitkan pada tahun 1994. Makalah ini ditulis bersama sahabat saya, Zulkifli Khair, bagi mendedahkan fakta sebenar pembukaan Pulau Pinang. Artikel ini dimuatkan dalam Jurnal Penyelidikan Sejarah Islam di Pulau Pinang dengan tajuk Sejarah Islam di Pulau Pinang : Islam dan Masyarakat - Jilid 1. Atas inisiatif Jabatan Agama Islam Pulau Pinang dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia, lahirlah buku bagi mengisi ketandusan karya tentang Islam dan masyarakat Islam di Pulau Pinang. 


Alhamdulillah, rencana hasil penulisan bersama ini telah membongkar bukti-bukti kukuh yang menafikan Francis Light sebagai pembuka Pulau Pinang pada tahun 1786. Sebelum kehadiran Francis Light, sudah ada pekan yang dibuka oleh masyarakat Melayu yang diketuai oleh Haji Mohammed Salleh atau Nakhoda Intan. Hal ini disokong dengan lakaran peta Pulau Pinang oleh Kapten Walter Alves pada tahun 1763. Dalam peta ini ditandakan dengan jelas kawasan pekan yang menjadi petempatan masyarakat Melayu di sekitar Batu Uban. Tambahan pula, kewujudan Masjid Jamik Batu Uban yang diasaskan pada tahun 1734 oleh Haji Mohammed Salleh. Jadi, catatan sejarah sekarang yang meletakkan Francis Light sebagai pengasas dan pembuka Pulau Pinang perlulah diubah.

Artikel ini telah di petik oleh :

1. Abu Talib Ahmad, Japanese Policy Towards Islam in Malaya During the Occupation: A Reassessment dalam Journal of Southeast Asian Studies Volume: 33 , terbitan Cambridge University Press 6 March 2002
2. Dr. Mahani Musa, Pulau Pinang Sebelum 1786 dalam Malaysia dari segi Sejarah (Malaysia in History) terbitan Persatuan Sejarah Malaysia, 2004.

Surat Maharaja Sriwijaya


Surat Maharaja Sriwijaya,
kepada Khalifah Umar Abdul Aziz. 

"Dari raja kepada Raja yang berketurunan dari 1000 raja, 
yang kandangnya dipenuhi dengan beribu gajah,
dan kawasan taklukannya adalah 2 sungai,
yang mengairi tanam-tanaman,
wangi-wangian,
pohon pala,
dan kapur wangi,
yang wangiannya semerbak sehingga 12 batu jauhnya.

Kepada raja Arab,
yang tidak menyekutukan tuhan dari tuhan yang 1.
Beta telah menghantar hadiah,
yang tidak seberapa sebagai tanda persahabatan,
dan beta harap agar anda menghantar seseorang,
yang dapat mengajarkan ajaran Islam,
serta menunjukkan undang-undangnya."

(Ibnu Rabbih 860-940 Masihi)
-Srikandi-
Pembela Sejarah Melayu Nusantara.

Sumber : Princess Anis
Bacaan Tambahan :

Melayu : Penduduk Asal Tanah Melayu (Malaysia)


Kajian arkeologi : Melayu bukan pendatang tetapi penduduk asal di bumi Malaysia
SELASA, 13 JULAI 2010 17:46

Oleh Shahfizal Musa


BANGI, 13 Julai 2010 – Data arkeologi yang diperolehi di Semenanjung Malaysia dan Sarawak menunjukkan rumpun Melayu adalah  penduduk asal bumi Malaysia sejak lebih daripada 40,000 tahun lalu dan bukan berhijrah ke mari dari tanah besar di utara. 

Artifek-arifek seperti seramik yang ditemui di lebih 100 kawasan ekskavasi  (excavation sites) yang dijalankan oleh ahli-ahli arkeologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menunjukkan bahawa artifek itu adalah berbentuk tempatan dan bukan dibawa masuk dari luar.

Antara tempat ekskavasi tersebut ialah Pulau Kalumpang dan Beruas di  Perak; Kota Johor lama, Kota Seluyut, Kota Sayong Pinang dan Muar di Johor; Kota Melaka in Melaka; Kota Lukut di Negeri Sembilan dan beberapa tapak di Tasik Kenyir di Terengganu.  Selain itu, penemuan  tengkorak manusia di Gua Niah, Sarawak oleh Kurator Museum Sarawak, Tom Harrison dan isterinya Barbara  dalam tahun 1958  menunjukkan rumpun Melayu sudah wujud di Malaysia seawal 40,000 tahun yang lalu. Secara langsung, penemuan di Gua Niah  dan kajian-kajian yang dijalankan oleh ahli arkelogi UKM menolak teori dipercayai ramai bahawa Melayu di Semenanjung adalah pendatang dari tanah besar di utara. Teori migrasi ini dikemukakan Heine-Geldern dan penyelidik dari Pemikiran Vienna ( Vienna School of Thought ) yang dikemukakan dalam tahun 1930an. Teori itu timbul berikutan dengan penemuan kapak batu di Malaysia yang dikatakan mempunyai ciri-ciri yang sama dengan kapak batu yang digunakan di sebelah utara tanah besar Asia bagi membuktikan bahawa orang Melayu telah berpindah dari kawasan utara tanah besar Cina itu kemari. Prof Nik Hassan Shuhaimi  bertanya:  “Adakah hanya kerana kapak batu ditemui di Malaysia orang Melayu telah berpindah dari utara ke selatan di Malaysia. Tidak terfikirkah mereka bahawa orang Melayu waktu itu juga boleh membuat kapak batu?”   Beliau berkata demikian dalam kertas kerjanya bertajuk ‘Tiga Puluh Lapan Tahun Arkeologi di Universiti Kebangsaan Malaysia’ di Seminar Penanda Arasan Penyelidikan Arkelogi di UKM pada 12-13 Julai, 2010, di Bangi.
Beliau berkata penyelidikan arkelogi di UKM  sejak tahun 1980an telah menemui data baru tentang asal usul kerajaan Melayu tertua di Malaysia iaitu Kataha atau Kedah Tua. Data baru ini diperolehi daripada tapak arkelogi Sungai Mas, Kedah.


Beliau juga menyatakan isu penting dalam zaman kerajaan awal/zaman klasik ialah proses Indianisasi. Berdasarkan kajian yang dibuat di UKM proses Indianisasi itu boleh ditukar kepada proses   pembumiputraan kebudayaan India, kata Prof Nik Hassan.

Kebudayaan India yang ada di Alam Melayu bukan dibawa melalui proses penaklukan tetapi dijemput oleh masyarakat tempatan dan disesuaikan dengan kebudayaan tempatan.

Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Tan Sri Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin ketika merasmikan seminar itu pada 12 Julai, berkata UKM telah melahirkan lebih 1,000 orang graduan dalam bidang arkelogi yang kebanyakanya kini terlibat dalam bidang ini di seluruh Malaysia.

Beliau berkata dalam usia 40 tahun UKM, para pakar arkeloginya yang diketuai oleh Prof Nik Hassan Shuhaimi  telah membuahkan hasil yang bermakna kepada sejarah negara dan memartabatkan warisan Kerajaan Melayu di Alam Melayu.


Sumber : UKM

Siapakah Melayu ?

Oleh : Shaharir Mohamad Zain
Ada banyak teori asal-usul bangsa. Melayu tidak terkecuali. Mereka yang yang terlibat dengan teori asal-usul manusia ialah agamawan, ahli mitologi, ahli biologi, ahli arkeologi, ahli sejarah, ahli antropologi dan ahli linguistik. Samalah dengan teori bangsa lain juga, semua teori asal-usul Melayu itu berlegar pada dua teori amnya, iaitu teori yang berasaskan kepada hipotesis penghijrahan yang dikenali sebagai “Budaya Gelombang” dan satu lagi berasaskan pada peribumi atau azali. Sesuai dengan judul bab ini perkara yang dibincangkan ialah “tempat asal Melayu”, “asalnya perkataan Melayu, dan yang berhubung dengannya”, “takrif Melayu”, “asalnya nama-nama negara dan geografi seperi Malaya, Semenanjung (Tanah) Melayu, Gugusan Pepulau Melayu, Malaysia, Indonesia dan Nusantara”. Selain daripada itu, sejarah ringkas kerajaan-kerajaan rumpun Melayu sebelum kedatangan Islam juga dibentangkan kerana kerajaan-kerajaan ini dianggap tidak begitu diketahui oleh umat rumpun Melayu kini. Kerajaan-Kerajaan yang dimaksudkan itu ialah Kerajaan Funan, Kerajaan Campa, Kerajaan Sriwijaya, Kerajaan Langkasuka-Patani, dan Kerajaan Majapahit.
1.1. Dari Mana Orang Melayu?
Teori yang popularnya tentang asal tempat orang Melayu ialah mengikut hipotesis penghijrahan yang dikenali sebagai “Budaya Gelombang” yang diutarakan oleh seorang ahli antropologi Austria bernama Robert Heine-Geldern pada tahun 1932, iaitu Melayu ini adalah bangsa yang berasal dari Yunan, China. Teori alternatifnya ialah bangsa Melayu memenuhi “hipotesis peribumi” yang diutarakan oleh Wilheim Solheim II pada pertengahan 1960-an, iaitu Melayu ialah bangsa dari azali (mula asalnya) lagi berada di daerah Asia Tenggara ini. Kedua-dua ringkasan teori ini dapat ditelaah pada Solheim (t.t). Mengikut Abbas (2002), sarjana tempatan yang pertama menentang hebat teori Geldern itu dan diikuti oleh ramai sarjana tempatan lain selepasnya ialah Sheppard (1972) (mantan pentadbir Inggeris di Malaya dan akhirnya menjadi rakyat Malaysia). Pengarang buku ini sendiri pernah menulis asal-usul Melayu beberapa kali (Shaharir 1992, 2000, 2000/2002, 2003a) sebagai reaksi kepada pandangan pengikut Geldern di Malaysia dan ekoran kajiannya dalam etnomatematik dalam tamadun Melayu pra-Islam sejak tahun 1990-an.
Dalam tulisan-tulisan itu, hipotesis penghijrahan dari utara (seperti Yunan itu) dihujahkan sukarnya diterima jika dilihat daripada perspektif bahasa dan fosil manusia purba. Segi kajian fosil manusia, “Orang Jawa” lebih awal daripada “Orang Peking” (kalau pun benar “Orang Peking” itu wujud; ada bukti yang “Orang Peking” itu orang palsu sahaja seperti yang didedahkan pertama kalinya pada masyarakat di Malaysia ini oleh Sulaiman & Suzanah 1978). Segi bahasa pula, seseorang boleh menggunakan pandangan Wilkinson (1911) yang menegaskan bahawa “bahasa Yunan ialah kelompok Austronesia, manakala bahasa Melayu ialah kelompok Polinesia”, untuk mengesyorkan hipotesis bahawa penghijrahan itu lebih munasabah berlaku dari selatan atau rantau Pasifik. Tentang bangsa berbahasa Austronesia itu pun, ada pendapat (Keraf 1984) yang mengatakan bangsa nenek-moyangnya dari Alam Melayu ini juga! (Lihat juga Internet 1.1). Walau apa pun polemik antara hipotesis penghijrahan dengan peribumi tidak mungkin akan berkesudahan sehingga akhirnya sistem nilai sahaja yang menentukan pendirian seseorang. Bagi Muslim memang hipotesis penghijrahan itu yang lebih patut dipercayai kerana lebih serasinya dengan ajaran Islam bahawa manusia ini berasal daripada Nabi Adam ‘alais (‘alaih al-salam) semuanya, iaitu dari Timur Tengah; atau dari Nabi Nuh ‘alais (setelah mengambil kira peristiwa Bah Besar itu). Sudah ada pandangan (lihat Internet 1.1 itu) bahawa semua bangsa dalam dunia ini berasal daripada tiga putera Nabi Nuh: Ham, Yafit dan Sam. Ham berpindah ke Afrika, Yafit ke Eropah dan Sam ke Asia menerusi puteranya Nabi Hud yang tinggal di Yaman dan Oman. Hipotesisnya, keturunan nabi Hud inilah yang berhijrah ke Madagaskar dan seterusnya ke Alam Melayu ini hinggalah ke Hawaii. Ini patut benar disambut baik oleh sarjana Muslim untuk mengesahkan hipotesis daripada sistem nilai agama ini menerusi ujian DNA.

Menggali Kepengetahuan Rumpun Melayu PraIslam

Oleh : Mohammad Alinor Abdul Kadir

Makalah yang saya tulis ini sebahagian besarnya adalah renungan semula terhadap jawapan spontan yang saya berikan terhadap soalan yang diajukan kepada saya oleh Pendeta Dr. Tan Sri Ismail bin Husin, Presiden GAPENA, dan Dato. Aziz bin Deraman, bekas Pengerusi DBP dan kini Prof. Adjung di UUM. “Soalan dan jawapan” tersebut dikomunikasikan diakhir pembentangan yang saya berikan berjudul Pengetahuan Sebagai Jatidiri Pembangunan Semula Kebudayaan Campa di Seminar Pertemuan Dunia Melayu-Kemboja, 6-10 Jun 2007 di Phnom Penh, Kemboja. Selepas memahami benar apa yang saya bentangkan, mereka menanyakan kepada saya secara berturutan tentang sikap dan pandangan saya terhadap penyelidik-penyelidik Pengajian Melayu di Malaysia. Saya mengatakan dengan spontan bahawa saya amat kesal dengan apa yang telah penyelidik-penyelidik tersebut, kalaupun benar mereka penyelidik, lakukan dalam penyelidikan mereka. Mereka langsung tidak peka terhadap khazanah pengetahuan yang ditinggalkan oleh sarjana-sarjana Bangsa Melayu semenjak awalnya, baik yang berupa batu bersurat (prasasti) mahupun yang berupa manuskrip. Kalau adapun penyelidikan dilakukan terhadap sumber-sumber primer ini, selalunya hanyalah merupakan ulang-ulangan atau ambil-ambilan, sesekali berbentuk gambaran, mementingkan lebih sumber itu berbanding kandungannya, berjela-jela dinyatakan tentang berapa buahkah manuskrip tersebut kedapatannya di dunia, tetapi tipis terhadap kandungan manuskrip itu, paling baiknya dilakukan terjemahan manuskrip, dan amat jarang yang berbentuk analisis kandungan. Mereka sebenarnya cumalah menyambut-nyambut apa yang telah ditinggalkan sebagai sisa oleh penyelidik-penyelidik Barat. Namun, kalau ada mana-mana kalangan penyelidik Barat tersebut meninggalkan sisa yang agak mendalam sifatnya, penyelidik-penyelidik tempatan ini akan berduyun-duyun menghindarinya, alasannya mudah, sebab sisa tersebut sukar dan menyukarkan. Kajian terhadap prasasti dan manuskrip menonjolkan langsung sikap penyelidik-penyelidik tempatan ini. Berapa keratkah penyelidikan tempatan yang menggunakan prasasti dan manuskrip sebagai sumber primernya? Boleh dibilang dengan jari-jemari sebelah tangan, itupun banyak yang bersifat mengulang apa yang telah disampaikan oleh pengkaji sebelumnya. Sedangkan prasasti dan manuskrip adalah merupakan sumber pengetahuan primer Bangsa Melayu, selain daripada tinggalan teknologi yang lebih sukar ditafsirkan. Meninggalkannya sebagai sumber kajian mengakibatkan hilangnya nilai-nilai keintelektualan yang tertanam di dalamnya. Ini mengakibatkan gersangnya perbincangan-perbincangan tentang kebudayaan Melayu itu. Yang tinggal nanti hanyalah perbincangan-perbincangan tentang kesenian, muzik, ritual, tarian, novel, cerita, nyanyian, dongengan dan lain-lain seumpamanya. Ini pernyataan yang tidak menyenangkan sesiapa yang mendengarnya, tetapi itulah yang selalunya dilakukan, tanpa sedar agaknya. Kalau dibandingkan dengan hasrat mahu membangun semula Tamadun Melayu, hasrat tersebut seperti usaha membangunkan sesebuah teori/teorem tanpa mempertimbangkan wujudnya andaian awalnya. Sedangkan teorem dibangunkan berteraskan andaian awal yang mengimplikasikan kesimpulan yang diidam-idamkan itu. Mustahil kesimpulan didapati tanpa andaian awal. Itulah sebabnya saya menyatakan kekesalan saya itu. Oleh yang demikian, untuk tidak terus kesal, saya mengambil sikap untuk memulai pengumpulan dan pentafsiran terhadap sumber-sumber primer ini. Namun, dalam makalah ini, tafsiran pilihan saya banyak yang bersumberkan prasasti. Dan lebih khusus lagi, saya juga memilih untuk membincangkan hal-hal yang berkaitan “pengetahuan” sahaja, itu sahaja yang terdaya setakat ini.

Penemuan Tapak Megalitik di Sumatera

Perkataan 'megalitik' berasal daripada perkataan Greek iaitu ‘mega’ dan ‘lithos’. ‘Mega’ membawa maksud besar dan 'lithos' pula bermakna batu. Jadi, megalitik boleh didefinasikan sebagai batu besar yang dibina sebagai struktur atau monumen untuk tujuan tertentu.




Penemuan tapak megalitik telah dilaporkan oleh akhbar Jakarta Post pada 18 Januari 2011. Satu tapak tinggalan sejarah berusia seawal 5000 tahun sebelum Masihi telah ditemui di sebuah ladang kopi, Sumatera Selatan, 10 kilometer dari Pagar Alam. Kawasan ini mungkin merupakan tapak perkuburan penduduk sebuah kerajaan yang wujud sebelum tahun Masihi. Buktinya terdapat sebuah kubur yang mempunyai batu nisan bercorak batik berukuran 50 cm tinggi dan 15 cm lebar yang dipercayai milik seorang raja. Antara batu lain yang ditemui ialah batu berbentuk seorang wanita menunggang gajah bersama dua orang anaknya. Terdapat juga batu berbentuk manusia yang diserang buaya dan ular besar. Lebih kurang 36 bongkah batu megalitik ditemui di kawasan ini yang berkeluasan 150 hingga 300 meter itu.


Relau Abad Pertama Masehi Ditemui


 Oleh NOOR HASLIZA NUSI
hasliza.nusi@kosmo.com.my
INILAH relau besi yang ditemui pakar arkeologi USM dipercayai digunakan pada abad pertama Masehi di Kampung Gading, Jeniang baru-baru ini.

GEORGE TOWN - Pakar arkeologi Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya menemui tapak kilang peleburan besi dipercayai dibina seawal abad pertama Masehi di Kampung Gading, Jeniang, Kedah pada bulan lalu. Penemuan itu berjaya melengkapkan kajian pengkaji Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) selepas kejayaan menemui tapak serupa di Sungai Batu, Lembah Bujang, Kedah pada Mei 2007. Pada penemuan terbaru ini, tujuh buah relau tempat melebur besi berbentuk bulat yang masih lengkap ditemui bersama sejumlah 'tuyere' iaitu alat pembakaran yang diguna dalam industri ini pada zaman tersebut. - Kosmo!

Prasasti Kutai

Batu bersurat Kutai dijumpai pada tahun 1879 M di Bukit Berubus, Muara Kaman, Kalimantan Timur, Indonesia. Prasasti ini menggunakan bahasa Sanskrit. Tulisan yang digunakan pula ialah tulisan Palawa iaitu pada awal abad ke-5 Masihi. Kandungan prasasti ini berkaitan dengan kerajaan Kutai Martadipura yang wujud pada abad ke-4 Masihi. Kerajaan ini terletak di hulu sungai Mahakam. Nama kerajaan ini diambil sempena nama tempat ditemui prasasti kerajaan ini. Dalam batu bersurat ini tidak dinyatakan nama kerajaan ini.

Prasasti Bahasa Melayu Champa


Penyemakan terakhir terhadap prasasti-prasasti Campa yang dilakukan oleh Dr. Anne Valery Schweyer ketika Seminar Antarabangsa Manuskrip Melayu Campa anjuran KKKW, JMA dan EFEO pada tahun 2004 menunjukkan bahawa daripada keseluruhan 210 buah prasasti Campa, tidak termasuk yang baru ditemui oleh sarjana-sarjana Vietnam tetapi masih belum dilaporkan, sejumlah 127 prasasti adalah berbahasa Campa sepenuhnya, 27 prasasti adalah berbahasa campuran Campa dan Sanskrit dan selebihnya 56 berbahasa Sanskrit sepenuhnya. Namun, setakat ini, prasasti berbahasa Campa yang telah diterbitkan hanyalah berjumlah 12 daripada 127 itu, dan 25 daripada 27 itu. Maklumat ini menunjukkan bahawa 37 buah prasasti yang mengandungi masukkan bahasa Campa diterbitkan berbanding seluruhnya 154 buah prasasti semuanya. Matlamat kami di sini adalah untuk mengumpulkan seluruh 37 buah prasasti ini untuk tujuan mendokumentasikan khazanah pengetahuan Melayu. Kami telah menggelintar rujukan-rujukan yang utama tentangnya sedapat mungkin, dan setakat ini hanyalah mampu memberikan maklumat-maklumat dibawah ini.