Siapakah Melayu ?

Oleh : Shaharir Mohamad Zain
Ada banyak teori asal-usul bangsa. Melayu tidak terkecuali. Mereka yang yang terlibat dengan teori asal-usul manusia ialah agamawan, ahli mitologi, ahli biologi, ahli arkeologi, ahli sejarah, ahli antropologi dan ahli linguistik. Samalah dengan teori bangsa lain juga, semua teori asal-usul Melayu itu berlegar pada dua teori amnya, iaitu teori yang berasaskan kepada hipotesis penghijrahan yang dikenali sebagai “Budaya Gelombang” dan satu lagi berasaskan pada peribumi atau azali. Sesuai dengan judul bab ini perkara yang dibincangkan ialah “tempat asal Melayu”, “asalnya perkataan Melayu, dan yang berhubung dengannya”, “takrif Melayu”, “asalnya nama-nama negara dan geografi seperi Malaya, Semenanjung (Tanah) Melayu, Gugusan Pepulau Melayu, Malaysia, Indonesia dan Nusantara”. Selain daripada itu, sejarah ringkas kerajaan-kerajaan rumpun Melayu sebelum kedatangan Islam juga dibentangkan kerana kerajaan-kerajaan ini dianggap tidak begitu diketahui oleh umat rumpun Melayu kini. Kerajaan-Kerajaan yang dimaksudkan itu ialah Kerajaan Funan, Kerajaan Campa, Kerajaan Sriwijaya, Kerajaan Langkasuka-Patani, dan Kerajaan Majapahit.
1.1. Dari Mana Orang Melayu?
Teori yang popularnya tentang asal tempat orang Melayu ialah mengikut hipotesis penghijrahan yang dikenali sebagai “Budaya Gelombang” yang diutarakan oleh seorang ahli antropologi Austria bernama Robert Heine-Geldern pada tahun 1932, iaitu Melayu ini adalah bangsa yang berasal dari Yunan, China. Teori alternatifnya ialah bangsa Melayu memenuhi “hipotesis peribumi” yang diutarakan oleh Wilheim Solheim II pada pertengahan 1960-an, iaitu Melayu ialah bangsa dari azali (mula asalnya) lagi berada di daerah Asia Tenggara ini. Kedua-dua ringkasan teori ini dapat ditelaah pada Solheim (t.t). Mengikut Abbas (2002), sarjana tempatan yang pertama menentang hebat teori Geldern itu dan diikuti oleh ramai sarjana tempatan lain selepasnya ialah Sheppard (1972) (mantan pentadbir Inggeris di Malaya dan akhirnya menjadi rakyat Malaysia). Pengarang buku ini sendiri pernah menulis asal-usul Melayu beberapa kali (Shaharir 1992, 2000, 2000/2002, 2003a) sebagai reaksi kepada pandangan pengikut Geldern di Malaysia dan ekoran kajiannya dalam etnomatematik dalam tamadun Melayu pra-Islam sejak tahun 1990-an.
Dalam tulisan-tulisan itu, hipotesis penghijrahan dari utara (seperti Yunan itu) dihujahkan sukarnya diterima jika dilihat daripada perspektif bahasa dan fosil manusia purba. Segi kajian fosil manusia, “Orang Jawa” lebih awal daripada “Orang Peking” (kalau pun benar “Orang Peking” itu wujud; ada bukti yang “Orang Peking” itu orang palsu sahaja seperti yang didedahkan pertama kalinya pada masyarakat di Malaysia ini oleh Sulaiman & Suzanah 1978). Segi bahasa pula, seseorang boleh menggunakan pandangan Wilkinson (1911) yang menegaskan bahawa “bahasa Yunan ialah kelompok Austronesia, manakala bahasa Melayu ialah kelompok Polinesia”, untuk mengesyorkan hipotesis bahawa penghijrahan itu lebih munasabah berlaku dari selatan atau rantau Pasifik. Tentang bangsa berbahasa Austronesia itu pun, ada pendapat (Keraf 1984) yang mengatakan bangsa nenek-moyangnya dari Alam Melayu ini juga! (Lihat juga Internet 1.1). Walau apa pun polemik antara hipotesis penghijrahan dengan peribumi tidak mungkin akan berkesudahan sehingga akhirnya sistem nilai sahaja yang menentukan pendirian seseorang. Bagi Muslim memang hipotesis penghijrahan itu yang lebih patut dipercayai kerana lebih serasinya dengan ajaran Islam bahawa manusia ini berasal daripada Nabi Adam ‘alais (‘alaih al-salam) semuanya, iaitu dari Timur Tengah; atau dari Nabi Nuh ‘alais (setelah mengambil kira peristiwa Bah Besar itu). Sudah ada pandangan (lihat Internet 1.1 itu) bahawa semua bangsa dalam dunia ini berasal daripada tiga putera Nabi Nuh: Ham, Yafit dan Sam. Ham berpindah ke Afrika, Yafit ke Eropah dan Sam ke Asia menerusi puteranya Nabi Hud yang tinggal di Yaman dan Oman. Hipotesisnya, keturunan nabi Hud inilah yang berhijrah ke Madagaskar dan seterusnya ke Alam Melayu ini hinggalah ke Hawaii. Ini patut benar disambut baik oleh sarjana Muslim untuk mengesahkan hipotesis daripada sistem nilai agama ini menerusi ujian DNA.


Sementara itu, teori sejarawan Muslim Arab abad ke-13M, Ali Ibn al-Athir yang terkenal dengan karya agungnya al-Kamil fi al-Tarikh (Sejarah Lengkap) yang menyatakan “Bangsa Jawi” (istilah Arab untuk bangsa di Gugusan Pepulau Melayu atau Kepulauan Melayu ini) berasal dari keluarga Nabi Ibrahim ‘alais menerusi isteri ketiganya yang bernama Qanturah (dieja juga dengan Qatura atau Ketura) adalah lebih terandalkan daripada teori “Melayu dari Yunan” atau dari selatan itu (Cerita ini banyak dipetik orang seperti Noorzihan 2005 dan naiffusDamha 2004a,b). Penghijrahan keturunan Nabi Ibrahim ‘alais ini tentunya menerusi benua atau lautan Hindia/India, kemudian ke Indocina dan seterusnya ke Alam Melayu ini, bukannya menerusi Yunan di benua China, dan ini sesuai pula dengan mitos-mitos peribumi di Indocina dan “Melayu” sendiri. Dalam makalah yang dipaparkan oleh NaiffusDamha (2004a) dalam ruangan bulannya di internet itu, memang terdapat pernyataan kemungkinan penghijrahan itu berlaku mengikut darat menerusi Benua Hindia ke Tibet sebelum ke “Semenanjung Melayu” (yang boleh menyokong teori “Melayu dari Yunan”). Namun penghijrahan menerusi lautan Hindia yang juga dikatakan berlaku itu lebih munasabah lagi. Malah sumber itu menyebut penghijrahan menerusi lautan Hindia itu diketuai oleh seorang yang bernama Mus dan sampai di Palembang dan meninggalkan nama sebuah sungai di sana, Sungai Musi, sampai sekarang. Ini lebih kukuh lagi kerana mengikut Ibrahim (1950/1961) keturunan orang inilah yang berhijrah kemudiannya ke “Semenenajung Melayu”.
Dalam buku Sejarah Melayu karya Tun Sri Lanang 1612 ada diceritakan asal-usul “raja Melayu” pertama (di Palembang) dari keturunan putri Hindia bernama Puteri Syahrul Bariyyah dengan Raja Iskandar Dzulqarnyn (= nama Inggerisnya Alexandre the Great, pahlawan Yunani dari Makedonia itu), manakala mitos yang serupa berlaku dalam sejarah tamadun “rumpun Melayu” yang terawal, iaitu tamadun Kerajaan Funan, Kerajaan Campa dan Kerajaan Langkasuka sejak abad ke-1M lagi itu (Kerajaan-Kerajaan ini diperihal selepas ini). Teori al-Athir dan Tun Sri Lanang itu ada keserupaannya dengan teori yang dipaparkan oleh de Eredia awal abad ke-17M, seorang pegawai Portugis di Melaka (juga seorang ahli matematik kejuruteraan ukur), yang mengatakan “Melayu” (ejaan Portugisnya Malaio) berasal dari suku kaum Attayo/Attay/Cattayo di Serica negeri Scyth/Scythia di Parsi (Iran) yang juga menjadi keturunan orang Yunani (Lihat MBRAS 1610/1997). Minat de Erredia kepada “Melayu” boleh difahami kerana beliau boleh dianggap seorang Bumiputera kerana emaknya seorang “Melayu” (bapanya Portugis). Teori penghijrahan terbaru ialah yang diutarakan oleh Oppenheimer dan jaringannya termasuk ahli arkeologi Malaysia, Prof. Zurina di USM, yang menghipotesiskan semua manusia berasal dari Afrika (yang diakuinya sebagai anak Nabi Adam dan Hawa) sehingga beliau membuktikan DNA suku kaum Semang di Semenanjung Malaysia itu serumpun dengan orang Afrika! (Oppenheimer 2003). Ini tentunya banyak menimbulkan persoalan baru lagi yang tidak dibicarakan di sini.
1.2. Etimologi Melayu
Perkataan “Melayu” itu ialah versi baru (dalam ejaan “Rumi Melayu” awal abad ke-20 daripada ejaan Jawi sebelum itu dan Palawa dan Kawi sebelumnya lagi) kepada perkataan asalnya Malaya, iaitu perkataan Sanskrit yang bermakna “Gunung” (Perkataan Himalaya di Tibet yang terkenal itu bermakna “Gunung Tinggi” atau “Gunung Salji”; dan di pulau Jawa juga ada kawasan tasik di pergunungan tinggi yang dinamai Tasik Malaya hingga sekarang). Kami berpendapat perkataan asal “Melayu”, iaitu Malaya, berupa terjemahan Hindia (Sanskrit) kepada Bnom, Pnom atau Phnom, bahasa Mon-Khmer yang dipercayai bersimbiosis dengan “Melayu Purba”, khususnya Funan, yang entah bila berubah bentuknya kepada “Gunung” dalam bahasa Melayu sekarang ini. China Purba menyebut Bnom/Pnom/Phnom ini sebagai Fou-Nan, Fou-nan, atau Founan yang yang dibakukan kepada ejaan Rumi “Melayu” kini sebagai Funan bagi merujuk sebuah kerajaan rumpun Melayu di Kemboja, Kerajaan Funan, yang wujud pada abad ke-1M hingga ke-6M (Lihat seksyen 1.6). Oleh itu daripada segi sejarah dan etimologi perkataan “Melayu” ini, jelaslah sekurang-kurang pada awal Masehi, orang yang sejak di-Rumi-kan pada awal abad ke-20M ini sebagai “Melayu” sudah berada di rantau yang sekarang ini dinamai Gugusan Pepulau Melayu (Kepulauan Melayu) ini. Orang Pnom/Phnom/Funan (“rumpun Melayu”) di Kemboja itu juga sudah berhubung dengan “rumpun Melayu” lain lagi yang dinamai Jawa (atau Jawi mengikut Arab) malah anak raja Funan pernah melarikan diri ke Jawa pada abad ke-6M apabila Kerajaan Funan diserang oleh negara peuftinya yang baru muncul bernama Chenla. Di sekitar pertengahan abad ke-4M lagi ada tulisan sejarah dari China yang mencatatkan datangnya wakil rasmi Kerajaan Mo-lo-yeu dan pelbagai ejaan lain lagi itu, dari Sumatera ke China, seperti yang dilaporkan oleh Obaidellah (1986) dan Liang (1996). Kerajaan atau orang yang sekarang disebut “Melayu” ini dicatat dalam aksara China yang ejaan transkripsinya dalam versi yang lain itu sebagai Mo-lo-yu, Molo-yoou, Mali-yu-eul, Ma-lo-yu, Mo Lou Yu, Mo Lo Yu, Mo Lou Y, Mo Lou Yuu, Ma Li Yi Er, Ma La Yu, Wu Lai Yu dan Wu Lai Yu, yang merujuk kepada Malaya itu.
Sementara itu, segi catatan bertulis di Asia Tenggara ini sendiri pula, perkataan malayu, malayo, malayu atau malaiyur (masalah transkripsi aksara palawa ke Rumi) yang tertua setakat ini ialah yang tercatat di prasasti (batu bersurat) Padang Ruku/Roko/Rocore (abad abad ke-7M), atau di Sungai Langat, Sumatera yang bertarikh bersamaan 1029M dan di Tanjore 1030M; manakala prasasti yang dijumpai di Sungai Langsat (atau Batang Hari), Palembang, bertarikh bersamaan 1286M pula tercatat perkataan malayapura (bermakna kota malaya atau negara/kerajaan malaya). Raja Kartanagara kerajaan Singhasari di Jawa (waris-warah Kerajaan Majapahit) dirakamkan mengadakan jelajahan yang dinamainya Pamalaya bagi menawan malaya (dan berjaya) pada abad ke-14M menyebabkan hilangnya Kerajaan Sriwijaya yang masyhur itu. Di sini dianggap kerajaan baru muncul yang bernama Kerajaan Dharmasraya (kerajaan Melayu Jambi yang asalnya wujud sebelum berada di bawah kerajaan Sriwijaya yang hanya wujud mulai awal abad ke-7M) adalah juga warisan kerajaan Sriwijaya yang dikatakan runtuh pada 1088 akibat serangan Raja Chola dari Hindia itu. Setengah ahli sejarah menegaskankan kerajaan di Jambi sebelum wujudnya Kerajaan Sriwijaya itulah berupa Kerajaan Melayu Tertua yang dirujuk oleh penulis-penulis China sebelum abad ke-6 Masihi lagi itu sebagai kerjaan Moloyu itu. Namun kami ada teori yang lain lagi tentang perkataan “Melayu” ini yang dijelaskan di dalam bab ini.
Sejarah kerajaan dan bahasa “Melayu” Purba/Kuno (lihat seksyen 1.6-1.9) juga tidak begitu menyokong teori etimologi perkataan “Melayu” yang lain daripada Malaya (Sanskrit) itu, lebih-lebih lagi teori yang dipaparkan oleh Tardjan Hadidjaja (1964) yang dipetik juga oleh Abbas (2005) bahawa kononnya perkataan “Melayu” itu daripada “layu” itu, dengan katanya “erti Melayu itu adalah melayukan diri-nya, iaitu yang di-ibaratkan orang dahulu kala…… ya‘ani ia merendahkan diri-nya” (Ini amat popular nampaknya, terutamanya secara lisan dan bualan dalam internet; umpamanya lihat Internet 1.2). Apatah lagi teori yang lebih main-main lagi bahawa “Melayu” itu daripada perkataan Jawa, melayu atau mlayu, yang bermaksud “lari”, iaitu orang Melayu itu kononnya orang yang lari dari tempat lain terutamanya di sekitar “Asia Tenggara” ini (jika merujuk Melayu di Malaysia umpamanya) atau dari tempat-tempat di luar Asia Tenggara ini untuk menyokong hipotesis penghijrahan itu! (Lihat Internet 1.3 umpamanya). Teori kononnya “Melayu” ialah hasil perkahwinan China dengan Hindia/India sehingga lebih layak diberi nama bangsa Cindia seperti yang sengaja diperkenalkan oleh Saba (1999) juga termasuk dalam kategori yang sama.
Petikan beliau terhadap buku Kanchan (1990) tentang nama purba Asia Tenggara ini mengikut tulisan Hindu dahulu sebagai Swarnabumi (=Bumi Emas) bukanlah perkara baru seperti yang dibincangkan lagi kemudian, tetapi nama Semenanjung Melayu (Malay Peninsula) yang dahulunya merangkumi Selatan Thailand itu sebagai Malayadvipa dan kemudian menjadi Malaya memang baru, terutamanya mengenangkan sumber tersebut juga menyatakan nama Semenanjung Melayu sebelum dirujuk sebagai Malayadvipa itu ialah Shalamalidvipa sempena banyaknya pokok Shalamali (iaitu pokok kapuk atau kekabu) di Semenanjung itu. Tetapi teori daripada Kanchan-Saba tentang nama Malayadvipa itu diberi setelah kononnya ramai sekali bangsa Malayalam berhijrah ke Shalamalidvipa dahulu agak menyasar atau meraban sahaja lagi. Pertamanya, kalaulah benar teori ini, tentunya suku kaum India di Semenanjung Melayu ini majoritinya keturunan Malayalam, walaupun perkahwinan Malayalam dengan China dikatakan berlaku dengan banyaknya hingga melahirkan Cindia itu tetapi dinamai Malaya dan menjadi “Melayu” itu, sukar diterima melainkan terbukti sekurang-kurangnya segi DNA-nya. Mungkin kajian DNA Malayalam dengan “Melayu” patut dilakukan sesuai dengan kaedah kajian sekarang terhadap teori asal-usul manusia semuanya dari keturunan Eve di Afrika yang galak dilakukan oleh kumpulan Oppenheimer (2003) itu. Teori Kanchan-Saba itu juga nampaknya bertentangan dengan banyak kajian atau pandangan sarjana lain. Umpamanya, mengikut Ibrahim (1950/1961), orang “Melayu” di “Semenanjung Melayu” ini adalah pehijrah dari Sumatera, dan penduduk SM yang sudah ada ketika itu ialah Orang Asli (yang mengikut Oppenheimer datangnya dari Afrika), kemudian datang orang Siam-Asli (mungkin sekali Funan atau Mon?), diikuti pula oleh ketibaan orang Hindu dari Hindia Utara sebelumnya ketibaan “Melayu” itu. Tiada tempat teori Cindia Saba itu! Yang adanya, Orang Hindu dari Hindia Utara ini memang banyak yang berkahwin denga penduduk tempatan dan akhir terasimilasi seperti orang tempatan juga.
Benarlah nama sebahagian besar Semenanjung Melayu atau Semananjung Tanah Melayu sebelum kemerdekaannya 1957 (dari Inggeris) ialah Malaya (dan sebahagian lagi yang tertinggal di bawah Siam/selatan Thai itu sejak abad ke-17M, lihat seksyen 1.9), tetapi nama Malaya ini lebih munasabah daripada terjemahan Hindia kepada Pnom/Phnom/Funan dan oleh itu Malayadvipa itu juga terjemahan kepada negara Pnom/Phnom/Funan (lihat seksyen 1.6), apabila mengenangkan pengaruh Hindia terhadap “Alam Melayu” ini bermula dengan kerajaan Funan dan Campa itu lagi bukan dengan Sriwijaya yang cuba digambarkan oleh Saba (1999) menerusi petikan kepada buku Kanchan (1990) itu. Sehubungan dengan ini, teori mereka ini tentang Raja Suran sebagai pewaris raja Melayu pertama di Palembang seperti yang diperihalkan dalam Sejarah Melayu adalah Raja Chola dari India itu juga, walau dianggap satu teori yang sudah mantap, rasanya kita masih boleh berspekulasi bahawa Raja Chenla warisan Raja Funan di Kemboja (lihat seksyen 1.6) itu agak munasabah juga. Hubungan Raja Chola dari India ialah hubungan konfrontasi menerusi serangan Raja tersebut ke atas Sriwijaya beberapa kali (iaitu 1017, 1025 dan 1068) yang melemahkan kerajaan Sriwijaya dan akhirnya jatuh ke tangan Majapahit itu. Hubungan Sriwijaya dengan Raja Chenla di Kemboja ialah hubungan warisan persaudaraan sehingga terjadinya persemendaan/perbesanan antara Sriwijaya dengan Sailindra/Silindra berketurunan Funan itu.
Usaha Saba (1999) nampaknya ialah untuk membuktikan raja “Melayu” dahulu kala adalah berasal daripada India dengan membawa hujah-hujahnya sendiri atau dipetik daripada buku Kanchan itu. Ada dua isu yang sepatutnya dipisahkan, iaitu isu raja dan rakyat “Melayu”. Tentang betapanya raja “Melayu” (termasuk “Melayu” yang lebih dahulu daripada Sriwijaya lagi) dari India memang dianggap terbukti lama sudah kerana semua sejarah dan mitos “Melayu” (Funan, Campa dan Sriwijaya yang diperihalkan dalam seksyen 1.6 hingga 1.8). Tegasnya, asal mulanya raja-raja “Melayu” memang dari India/Hindia yang terus dikahwinkan/berkahwin dengan orang tempatan (iaitu pribumi/“Melayu”) tetapi selepas itu semakin hilang keIndiaan/keHindiaan itu kerana tiada lagi keturunan raja itu yang dilapor berkahwin dengan sesiapa dari Hindia. Malah raja Melaka yang pertama, Parameswara itu hampir semua sumber sejarah mengatakan bukan dari India tetapi seorang putera raja dari Jawa. Kelemahan teori Kanchan-Saba ialah cuba menyamakan isu raja dengan rakyat itu sehingga beliau terpaksa mencipta banyak hipotesis atau mitos baru yang sukar diterima. Oleh sebab itu lama sebelum teori Kanchan-Saba ini, telah adalah pula teori yang mengatakan semua raja rumpun Melayu itu bukan berbangsa Hindia/India tetapi sengaja dimitoskan demikian bagi menguatkan kewajaran menjadi raja kerana sumber kerohanian orang “Melayu” pada masa itu memanglah Hindu-Budha yang datang dari Hindia/Hindu.
Walau bagaimanapun, benarlah adanya nama Semenanjung Melayu atau The Malay/Malayan Peninsula ini yang dahulunya/kemudiannya bernama Malaya tetapi (yang merangkumi juga selatan Thailand sekarang) tidaklah diketahui tarikh mula nama ini menjadi masyhur dan yang mana yang dahulunya, kerana orang Barat sebaru-barunya sejak abad ke-3M lagi merujuk semenanjung ini sebagai Semenanjung Emas (Golden Khersonene/Korsenes/Chorsenes atau lebih awalnya bahasa Latin, Aurium Chorsenesis, hasil terjemahan nama aslinya dalam bahasa Yunani). Malah mengikut catatan Ahmad ‘Umar (2002:48), sarjana Yunani bernama Pompinios Milla menyebut “Chry Insula” dalam buku geografinya bertarikh 43M, Batlamiyus/Ptolomaeus/Ptolemy menyebut “Chry Cheresonese” dalam peta dunianya pada 127-141M dan Martionus dari Heracliea menyebut “Aurium Chorsenesis” (setelah diLatinkan) dalam bukunya Periplus Laut Luar abad ke-4M yang setiap satunya sama dengan rujukan Hindia kepada kawasan yang sama, Swarnabumi/Swarnadvipa atau Semenanjung Emas. Mengikut catatan di Internet 1.3, lebih awal daripada tarikh-tarikh di atas lagi, sebuah buku Yunani berjudul Periplous tes Erythras karya Straboi dan Plinus dan berikutnya dalam abad ke-2M buku Geographike Hyphegesis oleh Batlamiyus itu memerihalkan Argyre Chora (Negeri Perak), Chryse Chora (Negeri Emas), Chryse Chersonesos (Semenanjung Emas) dan Iabadiou (yang kemudiannya menjadi Yawadvipa) untuk kawasan di Gugusan Pepulau Melayu ini. Mengikut Wheatley (1966) nama Golden Khersonene itu hidup hingga abad ke-15M. Mengikut tradisi Melayu juga nama Semenanjung Tanah Melayu (Semenanjung Malaysia dan Thailand Selatan sekarang) ini dahulunya dinamai Nosa Koncana/Nusa Kencana yang bermakna Negara Emas (lihat Shaharir 1987/2000) yang mungkin sekali menjadi sumber nama Yunani dan Hindia itu.
1.3. Melayu Selepas Tanah Melayu Merdeka
Istilah “Melayu” sejak Malaya atau Semenanjung Tanah Melayu (Malay Peninsula), yang bertukar namanya kepada Persekutuan Tanah Melayu (PTM) apabila Merdeka 1957 dan menjadi Semenanjung Malaysia dengan penubuhan Malaysia 1963, ialah suatu bangsa yang hanya berada di Semenanjung Malaysia sahaja. Istilah Bumiputra (ringkasnya di sini BP, walaupun sepatutnya Bumiputera) dan Pribumi (ringkasnya di sini PB, walaupun sepatutnya Peribumi) dicipta bagi tujuan pengukuhan takrif Melayu yang baru itu. Perkataan BP tidak perlu dicipta kerana perkataan pribumi sudah ada sebelum itu (di Indonesia) tetapi kerana swa-bangga atau jahil agaknya, perkataan BP diciptakan juga pada 1957 dahulu khusus untuk kumpulan “Melayu Semenanjung Tanah Melayu yang bukan Islam”, iaitu “Orang Asli Semenanjung Tanah Melayu” dan “Orang dari Alam Melayu yang bukan Islam”. Kemudian apabila Malaysia diwujudkan BP sudah menjadi dirasai sinonim dengan “Orang Asli Semenanjung Malaysia” dan tidak sesuai dipakai di Sabah dan Sarawak pula. Gantinya, natif kedua-dua negara itu diistilahkan sebagai Peribumi atau Pribumi.
Sejak 1970-an, terutamanya dari kalangan orang bukan Melayu di Malaysia (yang lebih gemar/selesa berbahasa Inggeris daripada bahasa Melayu atau bahasa ibundanya) sering memendekkannya Bumiputera kepada “Bumi” sahaja. Perkataan “Bumi” ini sebenarnya tidak begitu disenangi oleh ramai orang Melayu kerana kependekan itu seolah-olah rendah tarafnya (menghina) yang mungkin tidak disedari sepenuhnya oleh mereka yang terutamanya biasa dengan bahasa Inggeris: Bumi dan Non-Bumi. Perkara yang agak sama statusnya berlaku untuk istilah “bahasa Melayu” yang sering dipendekkan oleh kumpulan yang sama sebagai “bahasa” sahaja. (cth. “we speak bahasa”).
Sejak wujudnya Amanah Saham Nasional 1982, yang ditujukan kepada Bumiputera dan Peribumi sahaja tetapi kemudiannya beberapa suku kaum bukan Melayu, bukan Orang Asli atau bukan natif Sabah atau Sabah “mendesak” kerajaan untuk turut diizinkan menikmati sekim pelaburan itu, maka dengan “semangat BN” kerajaan telah memperluaskan makna Bumiputera kepada suku kaum Cina Baba, Siam dari keturunan semasa Kelantan-Kedah-Perlis di bawah Siam dahulu lagi, Portugis keturunan zaman Kesultanan Melaka dahulu (yang tidak rasminya dinamai bangsa Gerago), dan Gurkha bekas tentera Inggeris dahulu. Ini bolehlah distilahkan sebagai “Bumiputera politik”. Kini, dengan kuasa media massa, ahli- ahli politik dari Semenanjung, istilah “Peribumi” kini sudah hampir sinonim dengan “Bumiputera” tetapi dengan kemenangan, kepopularan berpihak kepada “Bumiputera” .
Bagaimana sempit dan lemahnya takrif “Melayu” sejak 1957 dapat dilihat daripada pernyataan Perlembagaan PTM dan kemudiannya Malaysia tentang “Melayu” dan takrif-takrif lain yang berhubung dengannya seperti di bawah ini:
(M1) Mengikut Perlembagaan PTM dan kemudiannya Malaysia, “Melayu ertinya seorang yang menganuti agama Islam, lazimnya bercakap bahasa Melayu, patuh kepada adat Melayu, dan (a) telah diperanakkan di Persekutuan atau Singapura sebelum merdeka atau salah seorang daripada ibu bapanya diperanakan di Persekutuan atau Singapura dan pada hari itu bermastautin di Persekutuan atau Singapura, atau (b) keturunan orang sedemikian”. (Bahagian 12 Perkara 160 Perlembagaan Malaysia). “Melayu” ini sering dirujuk sebagai “Melayu Berperlembagaan”. Struktur mantik perlembagaan ini amat lemah kerana mentakrifkan “Melayu” dalam sebutan “Melayu”.
(M2) Mengikut Perlembagaan Singapura, orang Melayu ialah “… mereka yang datuk neneknya telah berpindah ke mari dari daerah-daerah di alam Melayu; termasuk orang peranakan Melayu (yang salah seorang ibu bapanya orang Melayu) dan beragama Islam”. Namun menurut pandangan pemerintah Singapura pula, orang Melayu yang berhak menerima bantuan dan kemudahan pemerintah atas nama “Melayu” ialah “mereka yang pada kad pengenalannya bertulis “Malay” (Melayu) – menunjukkan bangsa pemilik kad itu “orang Melayu”. Bagi mereka yang pada kad pengenalannya bertulis “Javanese”, “Boyanese”, “Bugis” pada lajur “bangsa” tidaklah dianggap sebagai “Melayu” dan tidak mendapat hak sebagai “Melayu””. (Muhammad Ariff 1991: 35). Kelemahan takrif ini ialah ketiadaan peranan bahasa dan kebudayaan dalam takrif “Melayu” itu di samping pelaksanaannya bertentangan dengan takrif “Melayu” dalam perlembagaan itu, dan struktur ayat dalam takrif “Melayu” itu pun masih menghadapi masalah mantik yang sama seperti dalam (M1) itu.
(M3) Peribumi Sabah atau Peribumi Sarawak ialah orang yang ibu atau bapanya Peribumi negeri tersebut, tetapi mengikut banci Sabah suku kaum yang menjuzuki Peribumi ini berubah-ubah seperti berikut (Kitingan & Ongkili 1989: 405-450).
Dalam banci atau sensus (mengenangkan banci = pondan bagi Melayu Indonesia) penduduk Sabah 1960 (sebelum menjadi sebuah negeri di Malaysia) disenaraikan 11 kumpulan etnik peribuminya. Keanehan kumpulan etnik peribumi Sabah ketika banci itu luar biasa sekali kerana orang yang mengaku dirinya berasal dari Indonesia, Philippina (Filipina), Malaya, Sarawak, dan Pulau Kelapa/Cocos umpamanya tidak dikelaskan sebagai Pribumi, malah disamakan dengan dari India dan Sri Lanka sahaja. Ini hasil rekayasa sosial Inggeris! Dalam banci itu tiada suku kaum yang dinamai/dikelaskan sebagai “Melayu”. Pulau Kelapa itu terletak di Lautan India lebih daripada 1 ribu Km ke Barat Australia, sebuah pulau yang diletak di bawah perlindungan kerajaan Australia sejak selepas Perang Dunia II 1945, dan penduduknya 100% Melayu yang bekerja menjadi kuli ladang kelapa milik seorang Inggeris yang menjadi Raja mereka sejak abad ke-18. Kehamba-abdiannya diketahui dunia pada tahun 1980-an dan sejak itu orang-orang Melayu itu “diselamatkan” dan hampir semuanya berhijrah/dihijrahkan ke Perth, Australia, walaupun dari masa ke masa sebelum itu memang ada yang berhijrah balik ke Indonesia atau Malaysia. Tokoh politik Malaysia terkenal yang pernah menjadi Timbalan Menteri Malaysia yang asalnya dari Pulau Kelapa ialah Railey Jaffery dari Sabah. Banci Sabah 1970 baru ada kategori “Melayu”. “Melayu Sabah” dalam banci 1970 itu tidak sahaja dibezakan dengan Peribumi lain (yang besarnya: Kedazan, Murut dan Bajau) tetapi juga dibezakan dengan Indonesia, Orang Asli Sarawak, Orang Asli Philippina/Filipina, dan Orang Pulau Kelapa/Cocos (yang disamakan kategorinya dengan kumpulan orang India, Asia, Serani (campuran Asia dan Eropah, atau ringkasnya Eurasia), Eropah dan lain-lain (semua dikelaskan sebagai “Lain-Lain”). Dalam banci sabah 1980, senarai kaum Peribumi Sabah berubah lagi (ke arah yang lebih tepat): Kadazan-Dusun, Murut, Bajau, Melayu, Indonesia, Natif lain (Lotud, Rangus, Tambanuo, Dumpas, Maragang, Paitan, Idahan, Minokok, Rumanau, Mangka’ak, Sulu, Orang Sungai, Brunei, Kadayan, Bisaya, Tidong, Asli Cina (campuran China dgn natif Sabah), Orang Asli Sarawak, Orang Pulau Kelapa/Cocos, Orang Asli Philippina, Lain-Lain).
Berkenaan Peribumi Sarawak pula, mengikut makalah James Ritchie (1993), Sarawak ada lebih daripada 20 suku kaum Pribumi-nya (termasuk “Melayu”) yang menjuzuki hampir 70% daripada penduduk Sarawak. Peribumi yang besar-besar ialah Iban (Dayak Laut), Melayu Sarawak, Bidayuh (Dayak Darat), Melanau, Orang Ulu (termasuk Orang Bukit, Lun Bawang atau Murut; ada 20 sub-kaum-nya), dan Kelabit. “Melayu Sarawak” ada sekitar 20% ramainya, dan diam di pesisir pantai. Mereka in sebenarnya berketurunan Brunei, Kacukan Arab (Sayid dan Shariff), Melanau, Iban, Bidayuh, Orang Ulu (Seru, Beliun, Siteng, Narom, Segan, Preban, Miri, dan Dale) dan Cina. Kelemahan ketaranya takrif “Melayu” di Sabah dan Sarawak sama seperti lemahnya takrif “Melayu Berperlembagaan” dan “Melayu” di Singapura segi struktur mantiknya dan yang lebih teruk lagi tidak memberi hasil “Melayu” yang sama. Namun sejak kemasukan UMNO (parti “Melayu Semenanjung”) ke Sabah, konsep Melayu yang menonjolkan rumpun Melayu yang berasaskan etnografi itu (lihat M4 di bawah) nampaknya dipakai dan ini dijangka akhirnya akan mengatasi takrif-takrif “Melayu” yang lain seperti dalam perlembagaan, amalan pemerintah, dalam banci dan sebagainya itu. Ini boleh dianggap satu perkembangan yang positif.
Satu lagi cara ke arah perkembangan positif kepada kesedaran wujudnya “rumpun Melayu” ialah dengan membahagikan Melayu, Bumiputera dan Peribumi Malaysia kepada Melayu-Islam dan Melayu-bukan-Islam sahaja dalam banci dan laporan-laporan rasmi seperti yang telah dilakukan oleh Bala (2005). Mengikut Bala ini, Melayu-Islam di Sabah umpamanya ialah suku kaum Sabah yang sekarang diistilahkan Melayu itu (yang perlu dihapuskan), Bajau, Banjar, Bisaya, Brunei, Bugis, Cocos, Idahan, Illanum, Kadayan, Orang Sungai, Suluk, dan Tidong; manakala Melayu-bukan-Islam Sabah ialah Dumpas, Kadazan(-Dusun?), Kwijau, Lotud, Mangka’ak, Maragang, Minokok, Murut, Paitan, Pusum, Rumanau, Sino-Filipina, dan Tambanuo. Melayu-Islam Sarawak pula ialah Kedayan, “Melayu” sekarang (perlu dihapuskan), Bisaya (segelintir), Kedayan, Melanau (segelintir); manakala Melayu-bukan-Islam ialah Bidayuh, Bisayas, Bukitan, Dusun, Iban, Kayan, Kejaman, Kelabit, Kenyah, Lahanan, Lekit, Lisua, Lugau, Lun Bawang, Murut, Penan, Punan, Sian, Tagal, Tanjong-Kanawit, dan Tabun. Senarai ini tentunya perlu dikemas-kini dari masa ke masa. Dalam hal takrif Melayu di Malaysia ini Semananjung Malaysia (SM) sendiri boleh menjadi model yang terbaik kerana Melayu di SM hampir semuanya berketurunan (ramai hanya generasi kedua sahaja) datang dari suku kaum Indonesia (terutamanya Jawa, Bugis, Minangkabau, Batak, Brunei, Acih, dan Banjar), Patani, Campa, dan Orang Asli, campuran Arab-“Melayu” (melahirkan Syaikh dan Syarifah), India-Melayu (Mamak), dan sebagainya. Ramailah orang Melayu SM itu yang dalam surat beranak masing-masing tercatat: bapa dan emaknya “Jawa” tetapi dia sendiri tercatat “Melayu”!
(M4) “Melayu” mengikut Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu (1995: 1503) ialah “Sebagai nama khas, kelompok suku bangsa ini mendiami wilayah-wilayah Semenanjung Tanah Melayu, Singapura, selatan Thailand, pesisir timur Pulau Sumatera, pesisir Pulau Borneo dan wilayah-wilayah lain di Kepulauan Melayu (Nusantara) serta kawasan penghijrahan mereka seluruh dunia. Mereka adalah penutur teras bahasa Melayu. Sebagai kelompok am, bangsa Melayu terdiri daripada suku bangsa yang juga menjadi penutur bahasa Melayu dan bahasa-bahasa rumpun Melayu. Mereka terdiri daripada semua suku bangsa di seluruh Alam Melayu – dari Filipina hingga ke Irian, Sumatera dan Kemboja. Dalam pengertian yang lebih luas, Melayu merangkumi semua penutur bahasa Melayu dalam kelompok bahasa Melayu-Polinesia”.
Jelas para peguam, dan ahli politiklah yang bertanggungjawab mewarnai makna Melayu yang sempit, tidak mantik dan tidak tekal dengan kefahaman ilmuwan, walaupun “ilmuwan ikhtisas” (=”ilmuwan upahan”) juga ada sedikit sumbangan negatifnya. Umpamanya, takrif Melayu mengikut ensiklopedia itu juga nampaknya masih meninggalkan atau tertinggal memasukkan/menyatakan Vietnam dan Kemboja (amat penting), Madagaskar dan Taiwan sebagai sebahagian daripada Alam Melayu (walaupun sudah terdampar atau hancur luluh). Hal sempitnya persepsi orang Malaysia terhadap makna “Melayu” kerana terindoktrinasi dengan “Melayu Berperlembagaan” itu semakin mengakar kejap kerana adanya semacam dasar pendidikan sejarah PTM, dan Malaysia kemudiannya, bahawa “tamadun Melayu” yang patut diketengahkan sebagai kurikulum sekolah dan seterusnya menjadi asas pembinaan negara-bangsa, nasionalisme atau patriotisme Melayu, PTM dan Malaysia hanya bermula dari zaman Kesultanan Melaka (mulai sekitar 1400M) sahaja. Ini sering pula diperkukuhkan lagi oleh pandangan dan sikap berlebih-lebih beberapa orang sarjana Melayu (PTM atau Malaysia kemudiannya) terutamanya menerusi sejarawannya yang terkenal, Zainal ‘Abidin Wahid, dan sarjana falsafah Islam dan kesusasteraan Melayu yang mungkin lebih terkenal lagi, Syed Muhammad Naquib Al-Attas, yang kedua-duanya cukup berpengaruh itu. Tulisan-tulisan dan syarahan-syarahan mereka ini memberi implikasi yang tegas dan meyakinkan ramai pihak (kerana tiadanya maklumat alternatif) bahawa “tamadun Melayu” yang perlu dibanggakan hanya wujud sejak Melayu menjadi Islam sahaja, iaitu bagi Malaysia ini sejak Kesultanan Melaka sahaja dan sekaligus mewajarkan tepatnya takrif “Melayu Berperlembagaan” itu. Landasan pendidikan sebegini memang telah berjaya menjadikan herotnya persepsi rakyat Malaysia, khususnya Melayu Malaysia, terhadap “tamadun Melayu”. Pertamanya, mereka berpersepsi barunya “tamadun Melayu” ini (sekitar 600 tahun sahaja) dan oleh itu tidak hairanlah jika mereka berpendirian tiadalah berbaloinya (selain daripada untuk lulus peperiksaan awam) mengetahui “tamadun Melayu” ini berbanding dengan tamadun-tamadun lain terutamanya tamadun Barat yang dipersepsinya jauh lebih lama daripada “tamadun Melayu”. Keduanya, dengan barunya usia “tamadun Melayu” itu, maka tidak hairanlah mereka pun perpersepsi mundurnya Melayu ini sejak mula asalnya lagi dan munasabahlah tiadanya warisan ilmu dari “tamadun Melayu” sebelum abad ke-15M yang patut diketahui apatah lagi dibanggakan. Tidak hairanlah juga patriotisme di kalangan rakyat Malaysia tidak kental dan dikatakan semakin luntur itu! Imbauan kehebatan Barat dalam segala aspek kehidupan dan sejarah tamadunnya yang akhir-akhir ini secara tidak langsungnya dilakukan oleh kerajaan Malaysia sendiri, semakin menjadikan tamadun Melayu tertimbus atau terdampar sahaja! Oleh itu, dalam usaha memperbaiki sedikit keadaan ini, secebis riwayat tamadun rumpun Melayu yang lebih menghayati sejarahnya yang sebenar dipaparkan terlebih dahulu. Pengetahuan sejarah ini juga perlu bagi memahami ilmu rumpun Melayu, khsususnya ilmu kepemimpinan dan kepengurusan mereka yang dipaparkan di sini kerana ilmu itu ditonjolkan di sini dengan tekalnya wujud berabad-abad lamanya sebelum kedatangan Islam ke Alam Melayu ini lagi.
Dengan penjelasan “Melayu” di atas maka memang tepatlah perutusan dalam sajak Usman Awang (AY dan Sasterawan Negara) yang berikut:
Melayu itu orang yang bijaksana

Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.
Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak.
Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua´alaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu)
Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan
Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara
Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.
Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan
Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut
Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selagi yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
“Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran”
Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.
Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka

(Tambahan pascaterbit: ciptaan Usman Awang ini berjudul “Melayu” tahun 1999)
1.4. Asal-Usul nama Gugusan Pepulau Melayu
Barat Inggeris pula, sekurang-kurangnya sejak pertengahan abad ke-19M, menerusi George Earl dan Alfred Wallace membicarakan nama yang lebih sesuai untuk kawasan yang didiami oleh “rumpun Melayu” yang ketika itu digelar dengan berbagai-bagai nama oleh bangsa Eropah, sebahagiannya dinyatakan kemudian. Pada 1845 George Earl membentang sebuah makalahnya (kertas kerja) di Royal Geographical Society, UK, dan kemudiannya dijadikan bahan di dalam sebuah risalah berjudul “On the Physical Geography of South-Eastern Asia and Australia” bertarikh 1855 yang merujuk kepada isu ini. Beliau mentakrifkan Gugusan Pepulau Melayu (Malay Archipelago) itu “termasuk Semenanjung Melayu (pada masa itu termasuk selatan Thailand), sehingga jauh sampai Tenasserim dan Pepulau Nikobar di barat, Philippina di utara, dan Pepulau Solomon, melampaui New Guinea di Timur”. Alfred Wallace 1863, “On physical geography of the Malay Archipelego”, dalam J. Royal Geographical Soc. XXXIII: 217-234, merakamkan situasi pada zamannya bahawa nama sebahagian besar rantau Tenggara Asia ini sebagai Gugusan Pepulau Melayu (Kepulauan Melayu) atau The Malay Archipelago telah meluas pemakaiannya, walaupun nama-nama lain masih dipakai oleh pelbagai pihak penulis Eropah, khususnya yang berbahasa Inggeris pada zamannya, seperti Indian Archipelago, Asiatic Archipelago, Eastern Archipelago dan East Indies yang semuanya tidak disenangi oleh beliau kerana tidak tepat, dan mengelirukan di samping tidak cukup luas. Beliau berkata nama-nama itu lebih baik diganti dengan Indo-Australian Archipelago (Gugusan Pepulau Hindia-Australia). Namun ternyata beliau pun tidak memakai syor beliau itu apabila beliau menulis judul bukunya yang kemudiannya menjadi cukup terkenal dan laris itu, terbitan pertamanya 1869 sebagai, “The Malay Archipelago. The Land of Orang-Utan and the Bird of Paradise: A Narrative of Travel, with Studies of Man and Nature” dan diulang sunting puluhan kali dan diulang cetak sedemikian juga hingga ada cetakan 2004 dan 2005 pun; contohnya terbitan Graham Brush, Singapura 2004) (Buku ini disorot oleh Mat Rofa 2006). Tidak syak lagi buku beliau inilah yang memantapkan istilah The Malay Archipelago (Gugusan Pepulau Melayu atau Kepulauan Melayu) itu bagi menggantikan istilah yang lain itu. Wallace mentakrif Gugusan Kepulauan Melayu itu sebagai “rantau Asia Tenggara yang hampir-hampir berbentuk segi tiga” yang “meliputi rantau dari Pepulau Nikobar di barat laut, ke St Christoval sebuah daripada Pepulau Solomon di Tenggara, dan dari Luzon di Utara ke Rotti, dekat Pulau Timor, di Selatan”. Beliau juga mencirikan Gugusan Pepulau Melayu itu sebagai “rantau di antara Asia Tenggara dengan Australia, dan memisah lautan Hindia dengan Lautan Pasifik”.
1.5. Asal-Usul Malaysia, Indonesia dan Nusantara
Pemahaman rakyat terhadap asal-usul perkataan “Malaysia” itu sendiri juga semakin tersasar kerana sejak mula penubuhannya lagi tiada penjelasan yang baik dilakukan oleh pihak berwajib atau yang berwibawa sehingga ada yang mempermain-mainkan perkataan itu di samping sengoti-nya (serius-nya) pemaparan penentang penubuhan Malaysia dahulu yang berhujah “Malaysia itu kolonialisme baru”, dan yang terbukti parah kesannya hingga menjadi konfrontasi dengan Philippina (Filipina) dan Indonesia pada awal penubuhan Malaysia dahulu. Baru-baru ini pula makna “Malaysia” semakin tersasar lagi apabila Lee Kuan Yew (Bapa bersama Malaysia dan Perdana Menteri Singapura pertama itu) menegaskan dalam sebuah program TV di saluran Discovery berjudul “Singapore: A Nation By Accident” pada awal tahun 2006 ini bahawa perkataan “Malaysia” itu ringkasan daripada Malaya, Sabah, Sarawak dan Singapura. “Fakta baru” ini ditambah dengan “fakta lumrah” bahawa perkataan “Malaysia” itu “ciptaan bijak” Perdana Menteri PTM (dan kemudiannya Malaysia) yang pertama, Tengku Abdul Rahman Putra, sungguh mengelirukan kerana perkataan “Malaysia” telah wujud lebih 70 tahun sebelum negara Malaysia ditubuhkan dengan maknanya tidaklah bersifat “main-main”, “bersenda-senda”, “propaganda”, atau sinis itu.
Mengikut internet (Internet 1.4), perkataan “Malaysia” pertama kali disyorkan oleh Pengarah “The North Borneo Chartered Company”, Lord Brassey 1887, sebagai sebuah negara bagi menyatukan semua jajahan takluk Inggeris di Asia Tenggara yang termasuk 5 buah tanah jajahan Inggeris, iaitu Sabah, Sarawak, Brunei, Malaya dan Singapura, dan syor beliau itu dibangkitkan di Kabinet UK pada 1888 dan 1932. Selepas Perang Dunia Kedua Gabenor-Jeneral British, Malcolm MacDonald ditugaskan untuk menyelaraskan dasar-dasar di 5 buah tanah jajahan Inggeris ini menuju ke arah penubuhan “Malaysia” itu. Oleh itu besar kemungkinannya, Tengku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia pertama hanya meneruskan idea/agenda ini sahaja, apabila beliau menubuhkan Malaysia 1963 dahulu. Perkataan “Malaysia” oleh Brassey itu ialah gabungan Malays (perkataan Inggeris untuk “Melayu”) dengan ia (perkataan Yunani untuk “tanah” atau “rantau” yang mungkin daripada (selepas ini diringkaskan sebagai drp sahaja) Sanskrit/Melayu nosa/nusa itu juga, atau Sanskrit untuk roh) seperti dalam nama negara Bolivia, Georgia, Slavia, Slovakia, Czekoslovakia, Nigeria, Australia dan lain-lain. Jadi “Malaysia” secara harfiahnya bermakna “Tanah Orang Melayu” atau “Roh Orang Melayu” sahaja (atau lebih asli lagi “Tanah Orang Gunung”), suatu nama yang agak wajar apabila mengenangkan kawasan yang terbabit itu memang sebahagian (kecil) daripada kawasan yang sudah lama dikenali sebagai Gugusan Pepulau Melayu.
Sementara itu dalam dunia akademik pula, makalah di Internet 1.4 itu juga menyatakan pada 1929 istilah “Malaysia” disebut dalam sebuah makalah, “A sacred mountains: Exploration of Mount Kinabalu” dalam The British North Borneo Herald July 1, 1929: 125 terbitan Singapore Free Press. Penulis ini menggunakan istilah “Malaysia” itu untuk merujuk kepada rantau geografi Gugusan Pepulau Melayu ini yang kaya dengan spesies tumbuhan dan haiwan yang diminatinya itu. Malah, dalam hal ini mengikut Datu Zainal Abidin Said, Pengarah Jabatan Arkib Sabah, perkataan “Malaysia” dalam makalah itu besar kemungkinannya merujuk kpd “Malay Asia” (Asia Melayu) iaitu Malaya, Borneo, Indonesia dan Philippina, atau “The Malay Archipelago” (Gugusan Pepulau Melayu/Kepulauan Melayu) itu. Ini mengenangkan dalam makalah itu terdapat ungkapan “Kota Kinabalu ialah gunung tertinggi di Malaysia” (Malaysia sekarang belum ada!), di samping pengarangnya menyatakan kerja-kerjanya memungut spesies biologi itu ialah sebagai “sebahagian daripada skema yng menyeluruh bagi menyiasat fauna Malaysia” (istilah asalnya untuk fauna Malaysia itu ialah “Malaysian fauna”). Sementara itu pada awal kurun ke-19M lagi, ahli-ahli sains Perancis ada memakai istilah Malaysian Archipelago dan Ocenania et Malasia bagi merujuk kawasan Tenggara Asia ini. (Internet 1.6)
Walaupun begitu, di internet yang tersebut di atas itu (Internet 1.4) juga menyatakan gagasan “Malaysia” ahli Pentadbir/politik British 1887 itu tidak diketahui atau diterima umum (termasuk wartawan). Sebaliknya “Malaysia” segi akademik (bidang etnografi, dan sejarah tabii) itulah yang diterima pakai sekurang-kurang hingga 1940-an. Malah masyarakat umum mendengar perkataan “Malaysia” menerusi tajuk berita dalam The Straits Times 13 Sept 1945 yang berbunyi “Japenese in Malaysia Surrender at Singapore”. Perenggan pertama di bawah judul berita akhbar itu ada menyatakan penyerahan Jepun di “Malaya and the Dutch East Indies” yang ditandatangani di Singapura. Jelaslah “Malaysia” di sini merujuk sekurang-kurangnya Malaya, Singapura dan seluruh Indonesia sekarang.
Oleh sebab sejak 1945 sebahagian besar daripada Alam Melayu atau Gugusan Pepulau Melayu (atau Kepulauan Melayu) itu tidak lain daripada Indonesia, maka sudah ada kecenderungan para penulis kini (bukan dari Indonesia sahaja) memakai istilah Gugusan Pepulau Indonesia (Indonesian Archipelago), atau Gugusan Pepulau Melayu-Indonesia (Malay-Indonesian Archipelago), maka asal-usul perkataan “Indonesia” itu patutlah diketahui. Asal nama “Indonesia” itu (mengikut Ensiklopedia Wikipedia di internet: Internet 1.5) pertama kalinya disyorkan dengan ejaan “Indunesia” oleh seorang ahli etnografi Inggeris bernama George Earl pada 1850 menerusi makalahnya “On the leading characteristics of the Papuan, Australian and Malay-Polenesia nations” dalam Journal of The Indian Archipelago and Eastern Asia (JIAEA) vol. IV: 66-70 terbitan Singapura. Beliau mengesyorkan nama “Indunesia” bersama-sama dengan nama yang lebih disukainya lagi, “Malayunesia”, yang selalu dipakainya selepas penerbitannya itu. Nama “Indunesia” atau “Malayunesia” ini disyorkan oleh Earl bagi menggantikan nama Indian Archipelago (Gugusan Pepulau Hindia), atau East Indies (Hindia Timur), Indian Archipelago (Gugusan Pepulau Hindi), Eastern Archipelago (Gugusan Pepulau Timur), dan Asiatic Archipelago (Gugusan Pepulau Asia), dan Insulinde (drp Belanda, inseln yg bermaksud “pepulau” dan Indie daripada Hindia/Indus/India itu; yang diperkenalkan oleh Multatuli dalam bukunya Max Havela 1859 seperti yang dicatat dalam Internet 1.6) yang popular dipakai pada masa itu tetapi yang dianggapnya semuanya tidak tepat dan mengelirukan. Perkataan “nesia” dihujung kedua-dua perkataan Earl yang baru itu dan banyak perkataan lagi yang terkenal sekarang ini (seperti Melanesia dan Polinesia) adalah daripada perkataan Yunani, nesos, yang bermakna “pulau”, walaupun mungkin juga dari Sanskrit, nusa, yang bermakna “tanah tumpah darah” atau “negara”. Jadi “Indonesia” bermakna “Pepulau Hindia” atau “Pepulau India” yang sama kelirunya dengan “East Indies” atau “Hindia Timur”, atau Indian Archipelago atau Gugusan Pepulau Hindia itu! Begitu juga dengan makna “Nusa Hindia”. Namun, tenyatalah perkataan “Melayunesia” yang digemari Earl itu tidak mendapat sambutan terutamanya selepas beberapa peristiwa akademik berlaku. Pertamanya, seorang ahli etnografi lain, James Logan, dalam makalahnya “Ethnology of the Indian Archipelago” dalam JIAEA vol. IV: 252-347 itu lebih suka menyokong syor Earl tentang nama “Indunesia” (bukannya “Malayunesia”) tetapi mengesyorkan ejaannya ditukar kepada “Indonesia” atas alasan lebih baik lafaznya. Nama “Indonesian” melekat dan popular di kalangan sarjana selepas terbitnya 5 jilid buku karya Bastion pada 1884, seorang professor etnologi Jerman, berjudul “Indonesien oder die Inseln des Malayischen Archipel” yang jelas memilih “Indonesia” itu.
Ekoran daripada kepopularan perkataan “Indonesia” dalam etnografi dan etnologi itu, di samping sentimen cita “Hindia” atau “India” yang tebal di kalangan rumpun Melayu berkenaan (khususnya Jawa) agaknya, maka pada tahun 1922 Muhammad Hatta, yang kemudiannya menjadi Wakil Presiden Indonesia pertama, menukar nama sebuah perhimpunan mahasiswa atas nama Hindia Timur di Rotterdam, Belanda, yang dipimpinnya, kepada perhimpunan atas nama “Indonesia”, dan sekaligus majalah perhimpunan ini, Hindia Poetra, ditukar namanya kepada Indonesia Merdeka. Sejak itu banyaklah nama-nama pergerakan politik di tanah airnya atas nama “Hindia Timur” ditukar kepada “Indonesia”. Pada 1928 nama “Indonesia” dinobatkan sebagai Negara yang diperjuangkan dalam Sumpah Pemoeda yang bersejarah itu dan sekaligus disitulah juga diisytiharkan lagu kebangsaan berjudul “Indonesia” yang kemudiannya ditukar kepada “Indonesia Raya”. Berhubung dengan hal ini, pada pandangan penulis, Gagasan “Melayu Raya” (yang dirakamkan dalam buku kisah gerakan kiri Melayu oleh Mohamed Salleh Lamry 2005) hanyalah nama negara-bangsa impian para pemimpin pejuang kemerdekaan di Malaya, Patani, Singapura, Brunei dan Sumatera tahun 1940-an dahulu itu yang hanya disokong secara “manis mulut” sahaja oleh para pemimpin pembebasan rumpun Melayu daripada penjajahan Belanda (di bawah Soekarno dan Muhammad Hatta) itu kerana mereka sudah memilih “Indonesia” sejak 1920-an lagi, bukan “Malayunesia”, sebagai negara-bangsa impian mereka itu bagi menggantikan Hindia Timur atau Hindia Belanda atau Gugusan Pepulau Melayu itu.
Walau bagaimanapun mungkin juga istilah “Melayu Raya”, Indonesia Raya, Nusantara Melayu Raya atau Nusantara Raya itu (dan berjangkit kepada Patani Raya seperti yang dicatatkan oleh Ahmad ‘Umar 2002) terbit daripada istilah Perancis Le Grand Archilpel Malais yang merujuk kepada kawasan Asia Tenggara ini dalam pertengahan abad ke-19M (Lihat Internet 1.6). Namun orang-orang barat sekurang-kurangnya sejak akhir abad ke-19M lagi tetap merujuk kawasan Asia Tenggara ini sebagai Alam Melayu atau Gugusan Pepulau Melayu. Contohnya, masih terdapat buku-buku kini yang menggunakan judulnya atas nama Alam Melayu atau Malay World seperti “Borders and the Mapping of the Malay World” suntingan Trocki C. yang berupa himpunan makalah Proc. of the Association of Asian Studies Annual Meeting, 9-12 March 2000, San Diego, California. Istilah Alam Melayu (The Malay World) mungkin dipakai serentak dengan istilah Gugusan Pepulau Melayu (The Malay Archipelago), Semenanjung Melayu atau Semenanjung Tanah Melayu (The Malay Peninsula, atau kadang-kadang The Malayan Peninsula) sekurang-kurangnya sejak abad ke-19M lagi, selepas Alfred Wallace benar-benar berjaya mempopularkan nama Gugusan Pepulau Melayu atau Kepulauan Melayu pada 1863 dan terutamanya penerbitan buku beliau 1869 yang amat laris itu (yang sudah disebut sebelum ini).
Mengikut tradisi Hindia (seperti yang telah disebut sebelum ini, Internet 1. 6) kawasan yang kini dinamai Indonesia dan Malaysia di namai Suvarnabhumi atau Swarnabumi (dalam buku Jataka yang ditulis pada awal Masehi, dan bermaksud “Bumi Emas”); manakala dalam buku Ramayana dirujuk sebagai Yavadvipa atau Javadvipa (yang bermakna “Pepulau Emas dan Perak”) selain daripada dirujuknya juga sebagai Suvarnadvipa atau Swarnadvipa. Tulisan-tulisan susastera Hindia dalam tahun 320M hingga 455M merujuk kawasan antara benua Hindia dengan China sebagai Dvipantara yang secara harfiahnya bermakna “Pepulau Antara” yang jelas merujuk kawasan Asia Tenggara ini. Kerajaan Majapahit dahulu mengubah perkataan ini kepada Nusantara yang dibicarakan lagi selepas ini. John Crawfurd, seorang ahli sains dari Edinburgh, UK, menggunakan istilah “Indian Archipelago” untuk menterjemah Dvipantara ini dalam buku sejarahnya “History of the Indian Archipelago” 1820. Istilah Indian Archipelago ini tersebar kukuh lagi menerusi “Notices of Indian Archipelago and Adjacent Countries” oleh J.H. Moore, Singapura 1837; “Indian Archipelago, Its History and Present State” oleh Horace St. John, London 1853; serta JIAEA (Journal of the Indian Archipelao and Eastern Asaia) terbitan Singapura 1846.
Sering kali jugalah kita mendengar perkataan “Nusantara” bagi merujuk Alam Melayu atau Gugusan Pepulau Melayu ini seperti dalam ungkapan “muzik Nusantara”, “Islam di Nusantara”, “sastera Nusantara” dan sebagainya. Asal-usul perkataan Nusantara juga menarik. Mengikut ensiklopedia Wikipedia di internet lagi (Internet 1.7), istilah Nusantara asalnya dicipta pada zaman kerajaan Majapahit lagi (abad ke-13M) dengan maksud segala jajahan di bawah Majapahit di luar Jawa, kerana itulah makna asalnya nusantara dalam bahasa Sanskrit (gabungan nusa dan antara). Mengikut Internet 1.6, istilah ini asalnya Dvipantara seperti yang disebut sebelum ini. Istilah Nusantara ada terpahat di prasasti Gunung Wilis 1269 pada zaman Kerajaan Singosari / Singhosari di bawah raja yang bernama Raja Kartanegara, berpusat di Kediri Jawa Timur; di samping juga terdapat dalam karya Prapanca 1365, Negarakertagama itu. De Eredia yang bertugas di Melaka itu juga menggunakan istilah Nusantara dalam peta Asia Tenggara-nya 1601, dan nama ini dimaksudkan kawasan daripada Madagaskar hingga Fiji, yang digelar oleh P.W. Schmidt sebagai Austronesia dalam 1906. Ada juga yang merujuk Nusantara dengan maksud tanah jajahan Sriwijaya pada kemuncaknya yang dianggap wujud dalam 362-1406 berpusat di Karanganyar, Palembang, Sumatera Selatan itu. Istilah inilah cuba dihidupkan oleh beberapa cendekiawan (dengan memperluaskan maknanya supaya termasuk Jawa); yang pertamanya oleh seorang pejuang kemerdekaan Indonesia bernama Earne Dekker (campuran Belanda-Jawa) dengan gelaran Setiabudi dalam tahun 1920-an. Walaupun istilah ini masih popular hingga sekarang, terutamanya selepas 1950-an hasil war-war dari budayawan dan bahasawan seperti Prijana 1954 yang membicarakan istilah ini dalam Bahasa dan Budaya 2(5): 56-58, tetapi konotasi Nusantara Majapahit itu masih melekat juga pada pemimpin Indonesia hingga sekarang yang menyebabkan perkataan “Nusantara” tidak diterima secara rasmi sebagai ganti kepada Hindia Timur (Hindia Timur Belanda) atau Gugusan Pepulau Melayu. Sepatutnya pejuang kemerdekaan Hindia Timur dahulu (diwakili oleh Soekarno dan Muhammad Hatta itu) memilih Negara impiannya itu sebagai Nusantara sahaja, bukannya ciptaan Barat, “Indonesia”, atau “Malayunesia” itu. Sayang sekali! Oleh sebab tidak lakunya Nusantara ini bagi menggantikan Alam Melayu itu, maka Shaharir (1998a) mengesyorkan nama Pascabima bagi ringkasan negara-negara di Alam Melayu ini, iaitu yang hampir semuanya terdiri daripada Patani, Philippina, Singapura, Campa (Vietnam dan Kemboja), Brunei, Indonesia dan Malaysia, tetapi nama itu boleh sahaja diakomodasikan dengan Papua Niugini dan Madagaskar, China Taipei/Cina Republik tetapi tidaklah boleh menanggung nama negara baru, Timor Leste itu. Dalam buku ini, seringlah juga istilah Pascabima ini dipakai berselang-seli dengan Alam Melayu.
Berikut ialah sejarah ringkas kerajaan rumpun Melayu terawal: Funan, Campa, Langkasuka-Patani dan Sriwijaya pada zaman pra-Islamnya dan sekaligus menjelaskan juga asal-usul perkataan Melayu itu secara etimologi. Kerajaan-kerjaan ini sengaja dipilih kerana kurang diketahui umum sedangkan zaman kerajaan-kerajaan inilah rumpun Melayu nampaknya banyak menyibar dan menjana ilmu dan teknologi sehingga ketara mengatasi zaman Kesultanan Melaka. Kerajaan-Kerajaan Melayu Islam Melaka dan Pasca-Melaka dianggap sudah terkenal dan tidak perlu diperihalkan lagi di sini.
1.6. Kerajaan Rumpun Melayu Funan: Bayangan Kepemimpinan dan Kepengurusannya
Maklumat-maklumat yang dipaparkan di sini diperoleh dan diolah daripada internet dengan meminta “funan”, “southeast asia history, “khmer civilization”, “cambodian history”, khususnya di Internet 1.8 di dalam senarai rujukan buku ini dan juga sumber yang terpenting, Briggs (1951/1999), dan lain-lain yang dinyatakan dalam teks di tempat-tempat yang berkenaan.
Tamadun rumpun Melayu bermula pada abad ke-1M lagi dan boleh dianggap berakhir pada awal abad ke-19 dengan pengambilan Siam, Belanda, Sepanyol dan Inggeris pada hampir semua rantau Gugusan Pepulau Melayu atau Alam Melayu ini, walaupun lama sebelum itu (abad ke-15, ke-16 dan abad ke-17) Kerajaan Campa dihancurkan oleh Vietnam 1471, Melaka dijajah Portugis 1511 dan Philippina dijajah Sepanyol 1565. Tamadun rumpun Melayu pertamanya ialah yang terkenal sebagai Kerajaan Funan (yang wujud dalam abad ke-1M hingga pertengahan abad ke-6M) atau jika hendak dikembangkan lagi atas nama Kerajaan Chenla (mengenangkan pengasasnya memang warisan Funan) sehingga 800M. Pusat pemerintahan Kerajaan Funan ialah di Vyadhapura, berhampiran dengan Phnom Penh sekarang, yang dihubungkan dengan terusan ke sebuah pelabuhan bernama Oc-eo atau Oc Eo di Vietnam sekarang, Provinsi Long Xuyen. Kerajaan Funan merangkumi sebahagian besar Indo-China sekarang hingga ke negeri-negeri di utara Semenanjung Malaysia sekarang. Dalam abad ke-3M hingga ke-6M seluruh Thailand Selatan dan negeri-negeri di utara Semenanjung Malaysia sekarang ini berada di bawah Funan. Nama Kerajaan Funan ini sekaligus memberi makna “Melayu” itu sendiri. Perkataan Funan itu ialah ejaan bahasa Melayu moden kepada transkripsi bahasa China abad wujudnya Funan itu: Founan, Fou-nan atau Fou-Nan yang merujuk kepada Phnom bahasa “Melayu”-Mon-Khmer purba yang dalam bahasa Melayu kini ialah “Gunung”. Perkataan Phnom itu hidup sampai sekarang di Kemboja seperti pada nama ibu negaranya sekarang, Phnom Penh, itu yang jika diistilahkan dalam bahasa Melayu sekarang ialah “Gunung Banang” (“Gunung Banang” amat popular dalam puisi, nyanyian dan lagenda Melayu sehingga menjadi judul lagu asli, mungkin kerana nostalgia Melayu kepada Phnom Penh dan adanya legenda Melayu kononnya seorang adik Puteri Gunung Ledang itu namanya Puteri Gunung Banang yang diam di Gunung Banang di Johor). Ini menunjukkan bangsa yang berkerajaan di Kemboja itu ialah bangsa Uran Phnom (Orang Gunung; perkataan uran ialah transkripsi perkataan “Melayu” purba yang sudah ada di prasasti Campa abad ke-4M dalam aksara Hindia Palawa itu) yang disebut dengan pelat/loghat Chinanya sebagai Orang Funan. Apabila keturunan raja Funan ini lari dari Kemboja dan menubuhkan kerajaan barunya di Jawa Barat, maka kerajaan baru itu dinamai Sailendra (abad ke-7M hingga ke-8M) kerana ingin juga merujuk kepada asal-usulnya, “Orang Gunung” itu, kerana perkataan Sailendra/Silindra itu pun memang bermaksud “Tuan Mulia Orang Gunung”, malah ada istilah “Sailaraja” yang bermaksud “Raja Orang Gunung” (lihat ensiklopedia Wikipedia di Internet 1.9). Kerajaan Sailendra memang bersatu dengan kerajaan Sriwijaya (lihat seksyen 1.7) menerusi persemendaan/perbesanan antara dua raja itu.
Satu lagi bukti tentang orang Melayu asalnya “orang Gunung” ialah daripada tulisan Manansala (t.t). Beliau mencatat satu sumber China abad ke-3M lagi yang mengandungi rujukan kepada bangsa Melayu ini sebagai Kunlun dalam ungkapan Kunlun-po yang bermaksud “kapal Orang Gunung” (po ialah sebutan China kepada perkataan “kapal” sekarang; manakala kunlun itu satu lagi lafaz China dahulu (loghat/dialek lain) kepada pnom/phnom atau “gunung” itu, selain daripada Funan itu. Kapal Kunlun ini diperihalkan oleh sejarawan China abad ke-3M yang bernama Wan Chen yang katanya sampai kadang-kadang 200 kaki (sekitar 60m) panjang dan setinggi 20 kaki (sekitar 6m), dan boleh bermuatan sehingga 600-700 orang dan kargo seberat sehingga 900 tan (Fakta ini memang selalu dipetik oleh para pemuka teori “Budaya Gelombang” termasuk Geldern bagi membuktikan kemampuan berlakunya penghijrahan orang dahulu kala mengharungi lautan-samudera raya sekalipun, walaupun kesimpulan yang lebih pentingnya, ialah betapa tingginya tamadun rumpun Melayu sejak abad ke-3M lagi itu yang sekaligus membayangkan kehebatan ilmunya termasuklah kepemimpinan dan kepengurusannya. Kapal sebegini masih dapat disaksikan lukisannya di dinding candi Borobudur di Yogyakarta, Jawa Tengah, iaitu hasil binaan arkitek rumpun Melayu zaman Sriwijaya dan Sailendra abad ke-8M itu, yang mendahulu Wat Angkor di Kemboja itu. Candi Borobudur ini dianggap satu daripada benda ajaib di dunia, malah segi seni binanya lebih ajaib daripada piramid/ahram itu. Catatan sarjana China terkenal abad ke-7M bernama I-Ching (yang berada di Palembang beberapa tahun untuk menyalin kitab-kitab yang diminatinya dalam bahasa Melayu purba atau kuno ini), dengan jelas merujuk bahasa dan bangsa di Palembang itu sebagai bahasa dan bangsa Kunlun juga (lihat perihal kerajaan Sriwijaya dalam seksyen 1.7 di bawah). Kami menggunakan istilah “Melayu purba” dan “Melayu kuno” (iaitu “ancient Malay”) dengan maksud yang sama, iaitu untuk rumpun Melayu dari abad ke-2M hingga abad ke-12M (kedatangan Islam). Lebih awal daripada sumber China ini, mengikut Manansala itu juga, dalam sebuah tulisan orang Yunani dalam abad pertama Masihi, Periplus Maris Erythraei, yang diterjemah kepada Inggeris 1912 sebagai The Periplus of the Erythraean Sea (Pelayaran ke Lautan Hindia) yang diterbitkan oleh Longman dan baru-baru ini diberi ulasan lagi oleh Casson terbitan Princeton Univ. Press 1989 (lihat Internet 1.10) ada memerihalkan kapal-kapal dari tempat yang dinamainya Chryse di Kepulauan Melayu ini dan kapal itu dinamainya Kolan-diphonta atau terjemahan harfiahnya “kapal-Kolan”, dan perkataan Kolan itu ialah versi Yunani kepada versi China, Kunlun itu.
Mengikut kepercayaan Funan, dunia ini dicipta oleh Raja Naga, tuhan air Hindu, dan itulah juga kononnya asal-usul mereka (orang Funan). Namun kepercayaan ini berubah kepada yang lebih peribuminya (kepercayaan Mon-Khmer purba) terutamanya apabila kerajaan Funan ini runtuh pada pertengahan kedua abad ke-6M, iaitu diganti dengan mitos bahawa orang-orang Mon-Khmer itu berasal daripada Raja Tedung, tuhan Bumi ini. Kepercayaan lama yang diperbaharui ini diisytiharkan menjadi rukun negara oleh seorang raja pasca-Funan (raja kerajaan baru muncul, kerajaan Chenla) yang masih keturunan raja Funan (oleh itu sesetengah sejarawan mengatakan raja Funan-Chenla), iaitu yang bernama Rajendravarman II (meninggal 968M; Rajendravarman I ialah raja Funan-Chenla abad suku akhir ke-8M). Mungkin sekali sejak itulah kerajaan Mon-Khmer purba ini dinamai Kambujadesa (bermakna desa/negeri keturunan Kambu, raja pertama Funan) atau ringkasnya Kambuja (versi ejaan Rumi Melayu sekarang ialah Kemboja) bagi menggantikan nama Chenla atau Funan itu. Namun ada sejarawan yang menegaskan bahawa Chenla itu sebenarnya transkrip Rumi kepada tulisan China, Chen-La, yang merujuk negeri di Laos sekarang yang pada masa itu beraja sendiri tetapi di bawah Funan yang namanya Kambuja, iaitu Chen-La, Chenla, Tchenla, Chen-La atau Tchen-La itu panggilan China kepada Kambuja. Ada pula pendapat bahawa Kambuja atau Kemboja itu sempena nama bunga itu.
Ada dua pendapat tentang kepercayaan terhadap raja pertama Funan (abad ke-1M). Kepercayaan pertamanya ialah yang bernama Kaundinya yang mengikut lagendanya berupa seorang Barahmin India yang berkahwin dengan puteri naga (setengah cerita lain lagi puteri senduk) anak kepada raja naga (atau senduk) yang bernama Soma bergelar Puteri Mayang Mengurai (daripada sumber China, namanya Ye-Ye), keturunan Mon-Khmer yang asli. Mengikut pendapat lainnya, raja pertma Funan bernama Kambu (seorang Brahmin India juga) yang berkahwin dengan seorang puteri raja senduk Mon-Khmer bernama Mera. Mengikut sumber China puteri Soma itu namanya Ye-Ye (yang tepatnya, bermakna “Mayang Mengurai” tetapi salah diterjemah kepada Inggeris sebagai Daun Kelapa) tetapi perkataan China itu pernah juga tersalah transkripsi kepada Liu-yeh (yang diterjemah ke dalam bahasa Inggeris sebagai Willow Leaf, sejenis pokok yang tiada di Asia Tenggara ini!). Nama Kaudinya dalam China ialah Hun-t’sien yang dikatakan dari sebuah negara bernama Mo-fu, yang ditafsirkan oleh sesetengah sejarawan sebagai perkataan yang merujuk kepada Semenanjung Malayu (Semenanjung Malaysia sekarang). Cerita Kaundinya dengan Soma atau Kambu dan Mera ini seperti cerita asal-usul raja Melayu pertama dalam buku Sulalat al- Salatin atau Sejarah Melayu karya Tun Sri Lanang 1612 itu (dalam Jawi tetapi telah lama di-Rumi-kan, sekurang-kurangnya sejak akhir abad ke-19M oleh Inggeris), iaitu putra Raja Suran dari India berketurunan Iskandar Dzulqarnayn (dengan seorang puteri di India bernama Puteri Syahrul Bariyyah) yang bernama Sang Nila Utama Sri Tri Buana dengan Wan Empuk di Bukit Siguntang, Palembang, Sumatera itu yang menjadi raja Melayu pertama di Palembang dengan Menterinya bernama Demang Lebar Daun. Mengikut Sejarah Melayu itu, Parameswara, raja Melaka pertama itu ialah keturunan raja Palembang ini, sungguhpun raja ini berasal dari Majapahit ke Tumasek/Temasik (Singapura sekarang).
Mengikut sumber China, raja-raja Funan yang dicatatnya ialah Fan-shih-man (205M-225M), Fan Shi-Shen 225M (mati dibunuh oleh sepupunya Fan Chan), Fan Chan (225M-330M), Fan Hsun (240/245M-250/285M), Jayavarman (iaitu Jayavarman I, yg memerintah 478M-514M), Rudravarman (yang memerintah 514-539M dan dianggap raja Funan terbesar yang terakhir). Mengikut sumber lainnya (Hindu dan prasasti), terdapat beberapa orang raja Funan lagi seperti Chandan yang memerintah sekitar 350M, Bhavavarman I sekitar 560M-570M dan Isanavarman (616-635M), walaupun sesetengah ahli sejarah mengatakan Bhavavarman I dan Isnavarman ialah raja Chenla, kerana dalam tempoh itu Chenla dan Funan dalam proses penyatuan, penyerapan atau pendominasian seperti yang dibicarakan nanti, malah Isanavarman dianggap menawan Funan pada 628. Pada kemuncaknya (kira-kira abad ke-5M), Empayar Funan merangkumi delta Mekong (sebahagian besar daripada Kampuchea dan Vietnam sekarang yang masa itu dikenali sebagai Campa dan Dai Viet), sebahagian besar Thailand sekarang (masa itu terkenal dengan Siam), Myanmar Selatan sekarang, hingga ke sebahagian besar Semenanjung Malaysia sekarang yang pada masa itu dikenali sebagai Langkasuka.
Mengikut sumber China (Mohamad Zain & Nik Hassan Suhaimi 2003; dan Abdul Rahman al-Ahmadi 1988), penyebaran kuasa Funan dilakukan oleh seorang raja/panglima besarnya yang dinamainya Fan-shih-man (setelah ditransliterasi huruf China ke Rumi dan bergelar Sri Mara). Jika kita ingin menghipotesiskan adanya seorang Rasul daripada kaum Funan (cthnya Ayaht 47 Suraht Yunus (10), walikulli ummatin rasul… setiap kaum ada diutuskan seorang rasul… mengikut ulama ada satu keti dua laksa tiga ribu (123 ribu) Rasul), asalkan mereka itu hidup sebelum kerasulan Nabi Muhammad SAW pada 622M itu, maka Sri Mara Fan-shih-man, Rudravarman, dan Jayavarman I , malah Bharavarman I (560-570M), Nagasen (sarjana yang diutus ke China 480M), dan Madrasena (sarjana yang diutus ke China pada 503M) itu layak dipertimbangkan sebagai rasul Melayu-Funan atau Melayu-Mon-Khmer.
Pengganti kerajaan Funan ialah sebuah negeri peufti Funan juga (Chenla namanya, tetapi mungkin sekali suku kaum yang berbeza, walaupun serumpun agaknya), malah raja Chenla yang menawan Funan itu, Bhavavarman I, ialah cucu raja Funan bernama Rudravarman yang hebat itu. Agaknya Bhavavarman I sedar akan kemungkinan besarnya yang beliau tidak mungkin menjadi raja Funan, maka beliau pun berkahwin dengan seorang putri raja Chenla (negeri di daerah Laos sekarang tetapi dewasa itu di bawah naungan Funan) yang bakal menjadi raja kerana ketiadaan putra raja, dan seterusnya beliau menjadi raja Chenla itu sehingga mampu menawan Funan pula. Dengan kemenangan itu, Bhavavarman I (walau berasal daripada keluarga raja Funan tetapi dipengaruhi oleh permaisurinya) mula menghakis kebudayaan Funan dengan men-Chenla-kan (meng-Kambuja-kan?) kerajaan Funan sehingga pada zaman raja Funan-Chenla bernama Isnavarman itu dikatakan berjaya sepenuhnya dalam penyatuan Funan dengan Chenla dengan penubuhan ibu negaranya yang baru bernama Sambor sekitar 40Km drp Angkor. Tidak hairanlah tarikh penawanan Funan oleh cucu raja Funan itu seringlah dianggap tarikh kejatuhan Funan dan bermulanya kerajaan baru, kerajaan Chenla, yang berupa tunas pembentukan kerajaan Khmer purba yang dikenali sebagai Kambujadesa dan kemudiannya dirujuki oleh ahli sejarah barat sebagai Empayar Angkor.
Seperti yang telah dijelaskan di atas, kerajaan Funan dijatuhkan oleh sebuah negeri peufti Funan yang dikenali oleh Khmer sebagai Kambuja atau Chenla mengikut catatan China pada pertengahan abad ke-6M. Kerajaan baru ini mula dikenali pada 613M apabila ibu negaranya berpindah ke Isanapura di Sambor Prei Kuk di daerah yang kini dinamai Kampong Thom di Kampuchea. Namun kerajaan baru ini tidak dapat bertahan di pesisiran pantai kerana serangan orang-orang dari Malaysia dan Indonesia sekarang yang mereka merujuknya sebagai Jva sahaja (sama seperti Arab menyebut orang Jawa atau Jawi hingga sekarang) yang tentunya dari kerajaan Sailendra/Saliendra berpusat di Jawa yang sedang menjadi kuasa besar pada kurun yang sama itu. Sebenarnya kerajaan Sailendra ini diasaskan oleh raja Funan yang lari ke Jawa apabila dikalahkan oleh raja Chenla itu. Oleh itu kerajaan Chenla/Kambuja pengganti Funan itu mengundur ke bahagian pedalaman Kampuchea sekarang dan membina kekuatan di situ bermula daripada seorang rajanya yang bernama Jayavarman II (sebenarnya seorang raja warisan daripada raja Kambuja atau Chenla yang menjatuhkan Funan dahulu, malah Jayavarman I ialah raja Funan 478-514) yang apabila berjaya memperkuatkan takhta kerajaannya lalu mengisytiharkan dirinya sebagai deva-raja pada 802 dan memerintah sehingga 834. Jayavarman memang bermakna “pelindung yang berjaya”. Ada ahli sejarah menganggap beliaulah raja tamadun Khmer purba yang pertama yang juga sering di rujuk sebagai raja Tamadun Angkor yang pertama, atau pelandas/pembangun Tamadun Angkor.
Kemuncak kerajaan Chenla ini ialah di bawah rajanya yang bernama Jayavarman I sekitar 750M. Tidak hairanlah ahli-ahli sejarah Kampuchea menganggap kerajaan Funan itu sebagai kerajaan pra-Chenla, pra-Kambujadesa atau pra-Angkor, kerana tamadun Kampuchea bermula dengan Tamadun Funan dan berkemuncakkan dengan Tamadun Kambuja yang berpusat di Angkor yang terkenal dengan binaan Wat/Vat Angkor pada abad ke-12M yang terkenal sebagai satu daripada benda ajaib dunia, walaupun secara rasminya nama Kambujadesa ini mungkin sekali bermula pada pertengahan abad ke-10M sahaja, iaitu zaman Raja Khmer purba yang bernama Rajendravarman seperti yang diterangkan sebelum ini. Namun sesetengah ahli sejarah mengatakan nama Kambujadesa atau Kambuja (dengan ejaan Rumi Melayu-nya mulai abad ke-20M sebagai Kemboja kerana masalah perubahan ejaan dari yang asal kepada Jawi dan ke Rumi) itu dipakai antara 9M hingga 13M. Jelaslah Kambujadesa (atau Kambuja sahaja, yang mengikut ejaan Rumi Melayu-nya, Kemboja, dan ejaan yang dipengaruhi oleh Perancis atau Inggeris ialah seperti Kamboja, Cambodia, Cambodge dan kini Kampuchea) memang sukar dipisahkan dengan Funan dan kerajaan rumpun Melayu purba. Tamadun Funan dengan tamadun Angkor memang akrab sehingga seni bina Angkor dengan Funan memang sukar dibezakan seperti yang dipaparkan dalam buku Briggs (1951/1999). Ini menimbulkan persoalan tentang pengiktirafan ahli sejarah yang mengiktiraf tamadun Funan sebagai tamadun rumpun Melayu terawal tetapi tidak pula mengaitkannya dengan tamadun-tamadun Mon-Khmer purba selepas itu (Kambujadesa dan Angkor), mungkin semata-mata kerana bahasa Mon-Khmer dikatakan serumpun dengan Orang Asli Malaysia seperti Sakai itu, iaitu bahasa Austranesia, sedangkan bahasa Melayu dikelaskan sebagai bahasa Polinesia. Atau bagi setengah pihak, bahasa Melayu sebagai bahasa Austranesia tetapi bahasa Mon-Khmer bukan bahasa tersebut.
Jika dihitung prasasti yang dirakamkan oleh Majumdar (1953), zaman kerajaan Funan-Chenla ada meninggalkan 200 buah prasasti (batu bersurat) yang 80 daripadanya dalam bahasa Mon-Khmer purba yang dikatakan ada hubungan dengan bahasa Melayu Purba itu dan yang tertuanya bertarikh 531 Syaka/Saka/Shaka (=609M). Prasasti zaman Funan sebenar (sebelum abad ke-6M) dianggarkan oleh Muhammad Alinor (pengkaji gigih tamadun Funan di UKM) hanya sebanyak 11 buah yang juga dalam bahasa Sanskrit dan Mon-Khmer. Di antara prasasti Funan-Chenla itu ada simbol sifar yang tertua tarikhnya (awal abad ke-7M) dan sekaligus kita boleh menyimpulkan sistem angka perpuluhan yang tertua di dunia wujud pada prasasti zaman tamadun Funan-Chenla ini kalaupun bukan zaman kerajaan Funan sebenar-benarnya. Walau bagaimanapun, setakat ini, yang jelasnya bahasa pada prasasti Funan itu ialah Sanskrit dan Mon-Khmer sahaja, walaupun mengikut Sharan (1974) Funan ada bahasanya sendiri (rumpun Melayu?) yang menggunakan aksaranya sendiri (dipercaya diperkenalkan oleh Saka atau Syaka, seorang Brahmin India di Funan) yang berasaskan aksara Sanskrit itu.
Selain daripada itu Funan juga ada sistem percukaian tersendiri (termasuk impot-ekspot), dan perakaunan yang cukup mantap. Sebahagian daripada kemampuan ini ialah kerana ternyata Funan mempunyai sistem angka perpuluhannya yang tersendiri yang mengandungi angka (simbol nombor) sifar/kosong yang tertua di dunia (selewat-lewatnya pada awal abad ke-7 lagi seperti yang disebut di atas, dan besar kemungkinannya dalam abad ke-6 lagi) jauh lebih awal daripada sistem angka Muslim atau Hindu yang biasanya dikatakan tertua di dunia itu. Kajian pentadbiran Tamadun Kambujadesa mulai abad ke-7 Masehi yang dilakukan oleh Sharan (1974) itu sedikit-sebanyaknya dapat juga memberikan gambaran lebih terperincinya lagi akan pencapaian pengurusan dan pentadbiran Funan, walaupun kajiannya semuanya berasaskan prasasti Kambuja yang dalam bahasa Sanskrit sahaja. Kajian sepertinya untuk prasasti dalam bahasa Mon-Khmer purba itu nampaknya belum dilakukan hingga kini. Di sini diperturunkan ringkasan struktur pengurusan kerajaan Kambuja itu yang tentunya dapat membayangkan sedikit-sebanyaknya juga pengurusan kerajaan Funan itu.
Kajian pentadbiran zaman Funan boleh didapati menerusi kajian warisannya, tamadun Kambujadesa, mulai abad ke-7 Masehi yang dilakukan oleh Sharan (1974) yang berasaskan kepada prasasti Kambuja/Funan (yang dipilih dalam bahasa Sanskrit sahaja). Kajian prasasti dalam bahasa Mon-Khmer purba itu nampaknya belum dilakukan dalam konteks hubungannya dengan Melayu Funan, walaupun kajian Pou (1992) dalam bentuk kamus Kmer Purba boleh dianggap memberi sedikit gambaran terhadap bahasa Melayu Funan itu. Sebahagiannya dilaporkan di sini. Struktur kerajaan Kambuja purba dipengaruhi hebat oleh Hindu, malah bahasa komunikasi utamanya (selain daripada bahasa Khmer purba) adalah Sanskrit dan pembesarnya beragama Hindu. Karya Hindu, Rajasastras, tentang pengurusan negara nampaknya diketahui benar oleh sarjana-sarjana Kambuja purba sekurang-kurangnya seawal sejak 4M (zaman kerajaan Funan masih gagah perkasa). Seseorang bakal raja diajar menguasai pengetahuan sains pengurusan dan ekonomi daripada 4 buah buku Anviksiki, Dandaniti, Trayi dan Varta yang diumpamakan dengan 4 muka tuhan Hindu. Empayar Kambuja di bahagi kepada beberapa buah kerajaan tempatan (dinamai Vishaya) dan ada peraturan tentang pentadbiran, keadilan, pungutan hasil, organisasi ketenteraan, perlantikan pegawai-pegawai dan sebagainya yang semuanya selari dengan sistem pentadbiran Hindu.
Struktur hierarki pentadbirannya ialah berkemuncakkan Raja yang dianggap sakti dan ada hubungan dengan dewa-dewi (jelmaan tuhan atau keturunan tuhan atau kedua-duanya), diikuti oleh Jemaah Menteri Raja, Ketua-Ketua kerajaan tempatan, dan pegawai-pegawai yang dilantik berasaskan warisan. Ada tujuh unsur negara, iaitu Pemerintah (Svami), Wilayah dan Penduduk (Janapada), Kelas Pegawai (Amatya), kawasan kota (Durga), Perbendaharaan (Kosa), Tentera (Bala) dan Sekutu Asing (Mitra). Raja ditabalkan oleh para agamawan Brahmana dan diikuti oleh Guru Diraja. Guru ialah seorang ilmuwan yang berpengaruh ke atas raja dan mengajar ilmu-ilmu itu kepada raja. Gelaran kepada raja-raja yang hebat ialah Deva-raja dan Adhisvara (diberi kepada Jayavarman II yang meninggal 834 yang juga dianggap anak tuhan Hindu, Siva), Rajadhiraja dan Kambujendradhiraja (diberi kpd Raja Hars(h)avarman I yg meninggal 923), Narendrajah dan Rajendra (diberi kpd Yasovarman I yg meninggal 910), Maharajadhiraja (diberi kpd Bhavavarman), Samrata (diberi kpd Suryavarman I yang meninggal 1150). Tradisi ini berbeza daripada dalam tamadun Campa yang memberi gelaran raja hebatnya dengan gelaran Cakravantin itu. Sesiapa yang mengadap raja perlu sujud tiga kali di anak tangga di hadapan raja berkenaan. Raja mengadakan istiadat perjumpaan dua kali sahari untuk pengurusan awam. Perjumpaan-perjumpaan lain (menerusi jendela sahaja) ialah menerusi janjitemu dengan penuh istiadat (diiringi muzik), semua hadirin sujud sehingga muzik berhenti. Ini ada unsur demokrasi dalam aristokrasi dan feudalis rumpun Melayu. Pegawai-pegawai istana yang sentiasa mengiringi raja ialah Brahmana, Purohita, Hota, Rajaguru, Mantri dan Baladhayakasya/Baladhikrta (setara dengan Jeneral sekarang) dan pegawai-pegawai lain termasuklah Doktor Diraja. Permaisurinya (isteri Tua) digelari Agramahisi. Perempuan juga ada yang dilantik menjadi pegawai tinggi seperti Prana (seorang daripada isteri raja) menjadi setiausaha peribadi Jayavarman.
Antara jawatan-jawatan pegawai tinggi kerajaan Kambujadesa/Angkur yang dijangka warisan Funan juga dan diwarisi oleh orang rumpun Melayu hingga kini ialah mantri (kini menteri), Baladhyakasya/Baladhikrta (semacam ketua Turus Tentera), jeneral yang dikenali sebagai Senapati dan ketuanya Mahasenapati, Sahasravargadhipati atau ringkasnya Vargga (mengetua seribu askar, sekaligus vargga juga dianggap satu unit benda berjumlah seribu; manakala perkataan Melayu moden yang berasal daripada perkataan ini ialah “warga” itu. Jawatan-jawatan lain yang dapat dikenali fungsi/perkataannya ialah Gunadoshaparikshaka (Ketua Pegawai Mutu Negara), Duta, Pustakarakshaka (Ketua Pustakawan Negara).
Aku Janji Pegawai dalam Kerajaan Rumpun Melayu Kuno
Semua pegawai kerajaan membuat aku janji di hadapan api, dgn kehadiran Brahmana dan Acharya, untuk bersumpah akan mengorbankan jiwa raganya untuk raja. Sumpah ini berbunyi seperti berikut:
Inilah sumpah kami semua, menawarkan hidup kami dan bakti kami kepada Yang Mahamulia Sri Suryavarmadeva yang menikmati kedaulatan sepenuhnya sejak 924 Saka, di hadapan api yang suci, Brahmana dan Archarya.
Tiada Yang Mahamulia lain yang akan kami hormati, kami tidak akan memusuhi yang Mahamulia, tidak juga akan bersubahat dengan sembarang musuh, dan tidak akan menyakiti yang Mahamulia dengan apa cara sekalipun.
Kami akan sedaya upaya kami mendagakan untuk melakukan apa jua yang diperlukan dengan sesukahatinya berbakti kepada raja Suryavarmadeva. Jika ada sahaja perang nescaya kami akan berjuang dengan sepenuh kebolehan kami dengan tidak menghiraukan kehidupan kami dan dan tidak sekali-kali lari daripada medan perang itu. Jikalau tiadalah perang sekalipun, hidup kami dikonsekrasikan kepada perhambaan kepada raja walaupun membawa kami kepada kematian.
Jikalaulah kami dihantar ke tempat yang jauh kerana urusan raja maka kami akan cuba menjalankan titah perintah itu dengan penuh setianya hinggalah kepada perkara-perkara yang sekecil-kecinya. Jika kami tidak mengotakan janji kami, maka bersedialah kami menerima apa jua hukum raja ke atas jasad kami.
Jika kami cabut bagi mengelak daripada melakukan perkara yang telah kami janji, maka relalah kami dilahirkan semula dalam tiga puluh dua naraka selagi adanya Matahari dan Bulan ini.
Jika kami dengan setianya melaksanakan semua yang telah kami janji, maka moga-moga Yang Mahamulia mempertahankan landasan agama negara kami dan menyediakan makan-minum kepada keluarga kami — dan moga-moga kami beroleh anugerah yang setimpalnya daripada kebaktian kami kepada tuan kami, bukan sahaja di alam maya ini tetapi juga di alam selepas ini.
Perhatikan bagaimana seseorang pegawai kerajaan itu boleh dipindahkan tempat bekerjanya dan diubah jawatannya. Oleh sebab pengurusan Kambuja ini menekankan pada kesetiaan dan integriti (hemah mulia) maka para pegawai tinggi diuji kesetiaannya menerusi 4 jenis ujian yang diwarisi daripada Hindu.
Sebagai perbandingan, di sini diperturunkan “aku janji” yang diwajibkan kepada semua kaki tangan kerajaan Malaysia mulai 2002 itu yang jelas tiada banyak bezanya itu (yang menunjukkan Melayu moden pun masih menghayati gaya pengurusan Melayu Funan dahulu):
Saya, (nama dan No. Kad Pengenalan) beralamat di ……….. dengan

sesungguhnya berjanji bahawa saya akan mematuhi Peraturan-Peraturan
Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, Perintah-Perintah Am, pekeliling dan surat pekeliling serta peraturan dan arahan lain yang dikeluar dan dikuatkuasakan oleh Kerajaan dari semasa kesemasa sepanjang perkhidmatan saya dengan Kerajaan. Maka dengan
itu saya berjanji sebagaimana yang dikehendaki di bawah Peraturan 4, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 bahawa saya:

(i) akan sentiasa taat kepada Yang di-Pertuan Agong, negara dan Kerajaan;
(ii) akan sentiasa melaksanakan tugas dengan cermat, bersungguh-sungguh, cekap, jujur, amanah dan

bertanggungjawab;

(iii) tidak akan membelakangkan tugas awam demi kepentingan peribadi saya;
(iv) tidak akan berkelakuan dengan cara yang mungkin menyebabkan kepentingan peribadi bercanggah dengan tugas awam saya;
(v) tidak akan berkelakuan dengan cara yang boleh menimbulkan syak yang munasabah bahawa saya telah membiarkan kepentingan peribadi saya bercanggah dengan tugas rasmi sehingga

menjejaskan kegunaan saya sebagai pegawai awam;

(vi) tidak akan menggunakan kedudukan saya sebagai pegawai awam bagi faedah diri saya sendiri;
(vii) tidak akan berkelakuan dengan cara yang boleh memburukkan dan mencemarkan nama perkhidmatan awam;
(viii) tidak akan membawa sebarang bentuk pengaruh atau tekanan luar untuk menyokong atau memajukan tuntutan saya atau pegawai lain berhubung dengan perkhidmatan awam; dan
(ix) tidak akan ingkar perintah atau berkelakuan dengan cara yang boleh ditafsirkan sebagai ingkar perintah.
Saya sesungguhnya faham bahawa jika saya disabitkan kerana telah melanggar Aku Janji ini, saya boleh dikenakan tindakan tatatertib mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan

Tatatertib) 1993.

Satu daripada bukti pengurusan dan pentadbiran (dan sains dan teknologinya) yang hebat pada zaman kerajaan Funan dapat dideduksikan daripada catatan China tentang pemerintahan Kelantan (Ho-Lo-Tan/Kuo-Lo-Tan/Dan-Dan/Tan-Tan/Ki-Lan-Tan) pada abad ke-5M lagi yang dijangka di bawah naungan kerajaan Funan, walaupun kerajaan ini juga menghantar ufti tahunan kepada China.
“Negeri Dan Dan sudah terkenal pada zaman dinasti Syui lagi. Keluarga rajanya bernama Ksyatriya, nama Raja Sri Linga, memerintah lebih daripada dua puluh ribu keluarga. Menterinya ada lapan orang, disebut Lapan Teras, dan Menteri Besarnya dipegang oleh seorang Brahmin. Tubuh raja dipupuri dengan bedak harum, bermahkota menjulang tinggi, berkalungkan ratna mutu manikam, berpakaian warna-warni, berkasut kulit. Kalau berpergian; dekat naik kenderaan, jauh naik gajah. Ketika berperang orang meniup serunai dan memalu gendering. Hukumannya keras: pencuri tak pandang dosanya; besar kecil semuanya dibunuh.” (Liang Liji, 2000: 20)
1.7. Kerajaan Rumpun Melayu Campa: Bayangan Kepemimpinan dan Kepengurusannya
Maklumat yang dipaparkan ini diperoleh dan diolah daripada internet, khususnya Internet 1.8 dan Internet 1.11 yang disenaraikan dalam senarai rujukan buku ini dan sumber terpenting Maspero (1920/2002), dan lain-lain yang dinyatakan dalam teks di tempat-tempat yang berkenaan. Buku Maspero bersama dengan resensi/sorotannya oleh Muhammad Alinor (2006) memberi banyak maklumat yang baru tentang Campa yang menjadi bahan catatan utama di seksyen ini.
Sebuah lagi kerajaan rumpun Melayu purba yang sebahagian tempoh kewujudannya selari dengan Kerajaan Funan ialah Kerajaan Campa di Vietnam yang tidak kurang dilupai oleh orang rumpun Melayu kini walaupun kewujudannya terus berlarutan serentak dengan zaman kesultanan Melaka hingga abad ke-15M (akhir-akhir abad ke-2M hingga pada 1471). Pelarian orang Campa inilah yang kini menjadi orang Campa di Kemboja itu dan lamanya orang Campa ini di Kemboja itu dan hampir sudah tiadanya orang Campa di Vietnam itu menjadikan orang Campa kini dikenali sebagai orang Kemboja sahaja. Jika bahasa bagi orang Funan itu tidak begitu jelas ke-Melayu-annya kerana prasasti Funan yang dijumpai setakat ini sama ada bahasa Sanskrit, bahasa Mon (peribumi Indocina yang kebanyakannya di Kemboja, Myanmar dan Thailand Utara) atau Khmer sahaja, tetapi ke-Melayu-an bahasa Campa hampir tidak dipertikaikan lagi. Hubungan bahasa Mon dan Khmer itu dengan bahasa Melayu dikatakan samalah dengan hubungan bahasa Melayu dengan bahasa Orang Asli di Semenanjung Malaysia (Lihat umpamanya pandangan Wilkinson 1911), tetapi bahasa Melayu Campa memang sudah diperakui sebagai bentuk bahasa Melayu Purba/Kuno atau satu daripada loghat/dialek bahasa Melayu, yang banyak perkataannya masih hidup dan sama atau dapat dikenali hingga sekarang (lihat umpamanya kamus bahasa Campa-Melayu oleh Po Dharma 2000).
Ejaan Rumi Melayu Malaysia dan Indonesia bagi perkataan “Campa” sebelum 1970-an masing-masingnya ialah Champa dan Tjampa; manakala mengikut sebutan China pula ialah Chan Cheng, atau pada awal-awalnya disebut Lin Yi; sedangkan Perancis mengejanya Campa, Champa, dan orangnya Cham, Chame, Tchame, Cam; manakala Inggeris mengejanya Champa, dan orangnya dieja sebagai Cham atau Cam) yang bermula pada akhir abad ke-2M (berpusat di Annam sekarang) dengan kemuncaknya pada abad ke-9M hingga ke-10M. Kemudiannya berubah pusatnya di beberapa tempat di Vietnam sekarang kerana diserang-kalah oleh orang-orang dari China Selatan yang dikenali sebagai Viet yang kini dikenali sebagai orang Vietnam itu (Vietnam bermakna Negara Viet, iaitu drp Viet dan Bnam). Kerajaan Campa yang lemah selepas kekalahan teruknya di tangan Viet pada 1471, wujud sekurang-kurangnya sehingga 1663 (jatuhnya pusat pemerintahan Campa di Panduranga, atau Phan-Rang kini, ke tangan orang-orang Vietnam itu). Sejak 1471 orang-orang Campa (ramai juga penulis dalam bahasa Melayu kini pun ikut menggunakan “orang Cam”, walaupun di prasasti Campa hanya ada perkataan Campa sahaja) secara besar-besarannya berhijrah/lari ke Kambujadesa (Kemboja sekarang) untuk bernaung di bawah kerajaan di situ (yang memang ada hubungan yang baik dengan Kerajaan Campa) sehingga kini orang-orang Campa dianggap sebahagian orang asli Kemboja sahaja (dianggarkan kini seramai 600 ribu orang) yang kebanyakannya tinggal di kawasan yang namanya masih dapat dikenali dalam bahasa Melayu kini, seperti Kampong Cam (Kampung Campa) dan Kampong Ch’nang (Kampung Cenang, asalnya Kampung Ceruk); sedangkan di Vietnam kini tinggal kira-kira 50 ribu orang sahaja yang dianggap oleh kerajaan Vietnam sebagai orang asli Vietnam yang eksotik. Antara nama-nama Melayu Campa pada tempat-tempat di Vietnam ialah Amaravati (di sepanjang pantai di Annam, Vietnam Utara), Inderapura (Quang Nam sekarang, di Vietnam Tengah), Vijaya (Binh Dinh sekarang), Kauthara (Nhatrang sekarang) dan Panduranga (Phanrang sekarang).
Mengikut INTAN (1991) Campa meninggalkan sebanyak 98 buah prasasti (batu bersurat) dalam bahasa Melayu (Purba/Kuno) dan 29 buah prasasti dwibahasa (Sanskrit-Melayu), 43 buah prasasti dalam bahasa Sanskrit yang ditulis pada Zaman Kerajaan Campa itu dan dijumpai di Vietnam. Prasasti yang tertuanya dalam bahasa Melayu itu bertarikh sekitar kurun ke-4M (ada dalam buku INTAN itu) dan di prasasti itu terpancar adanya pemerintahan Melayu yang bersistem di Vietnam itu. Prasasti tertua zaman Kerajaan Campa itu yang ditulis dalam bahasa Sanskrit ialah yang bertarikh 192M. Hampir semua prasasti ini sudah ditranskripsi ke Rumi dan diterjemah kepada bahasa Perancis. Dalam Majumdar terdapat 130 buah manuskrip yang diterjemah kepada kepada Inggeris. Hanya sedikit sahaja yang diterjemah ke dalam bahasa Melayu kini. Status mutakhirnya (makluman Muhammad Alinor kpd penulis tentang fakta ini dalam Jacques 1991), prasasti Campa yg ditemui hingga kini ialah berjumlah 205 buah: 109 dalam Melayu Campa, 29 bahasa campuran dengan Sanskrit dan 23 buah yang belum diketahui bahasanya. Prasasti Khmer purba pula sekitar seribu buah: 45% drpnya dalam bahasa Khmer purba, 30% Sanskrit dan selebihnya bahasa campuran Khmer-Sanskrit. Usaha sedang dilakukan oleh sekumpulan penyelidik etnomatematik di INSPEM, UPM untuk menterjemah semuanya kepada bahasa Melayu kini. Sebenarnya orang-orang Campa masih menulis walaupun selepas negaranya hancur. Malah mengikut Mohamad Zain (1993), seorang keturunan Campa sendiri dan kini menjadi pensyarah sejarah di UKM menyatakan ada 438 buah manuskrip Campa (dalam aksara Jawi, aksara Campa dahulu atau aksara Vietnam) yang tersimpan di beberapa buah perpustakaan di Perancis terutamanya di EFEO (Ecole Francais d’Extreme-Orient). Perkembangan terbarunya, ada dilaporkan terdapatnya manuskrip lain lagi di AS dan UK yang menambahkan lagi bilangan ini.
Nama raja Campa yang tertulis pada beberapa buah prasasti (kerana kehebatannya) ialah Raja Bharavarman I yang memerintah dalam abad ke-6M. Raja-Raja Campa yang lain ialah (mengikut Internet 1.11) terdapat lima raja sebelumnya (Sri Mara 192M, Fan Hsiang/Hiong (270M), Fan Yi (284-336M), Fan Wen (336-349M) dan Fan Fo (349M-?). Kemudian 3 orang selepas Bharavarman I dan beberapa orang bernama Fan lagi termasuklah Fan Yang Mai (431M), diikuti oleh beberapa lagi termasuk Rudravarman I (529M), Prakadasadharma atau Vikrantavarman I & II (653-730M), Rudravarman II (749), Rudravarman III (1061-1074M, menyerang Vietnam Utara 1068M)…… Jaya Simhavarman I (898M), II (1030-1044M), III (meninggal 1307M dan dikenali sebagai Che Man oleh Vietnam atau Pou-ti oleh China), IV (1307-1312M), V (1400-1441M)…….Che Bong Nga (1360-1390M, raja Campa terakhir yang kuat) diganti oleh Raja Jaya Simhavarman Sri Harijatti atau La Ngai oleh Vietnam (mati 1400) ……P’an-Lo T’ou-T’siuan (1460-1471, tahun 1471 ialah tahun kekalahan teruk Campa Vijaya oleh raja Vietnam Le Loi sehingga 40 ribu orang Campa dibunuh dan lebih daripada 30 ribu diusir keluar Vijaya). Senarai lengkap raja-raja Campa dapat dilihat dalam internet (Internet 1.11) dan perincian yang lebih lagi dapat ditelaah dalam buku Maspero (1920/2002) .
Sejarah kemasukan Islam ke Campa masih belum begitu muktamad sebagaimana yang dibicarakan oleh Shaharir (2004a). Umpamanya, mengikut Maspero (2002) dalam tempoh 1280-an hingga 1300-an, raja Campa berada di bawah dua orang rajanya yang bernama (selain nama Sanskritnya) Che A-nan (Cik Adnan?) 1265-1287 dan Che Bong Nga (Cik Bunga?) 1287-1307 yang pusat pemerintahannya di Pandurangan (kini bernama Phanrang itu). Mengikut Maspero lagi, nama rasmi raja-raja ini memanglah dalam Sanskrit, masing-masingnya Indravarman VI dan Jaya Sinhavarman yang jauh daripada nama Islam. Kemungkinan besarnya raja-raja Campa pada masa itu sama seperti raja-raja Dinasti Ming di China yang beragama Islam tetapi dikekalkan nama rasmi bukan Islamnya. Malah mengikut Maspero itu antara 1000-1036M beberapa orang raja Campa bermula dengan Shri Yau Pu Ku Vijaya atau nama Cina/tempatannya Yan Pou Kiu/Che-li Pi-t’ou-yi (memerintah dalam 999-1007 M) dan berakhir dengan Yan Pu Ku Shri Vikrantavarman IV (memerintah dalam 1030-1036M), setiap seorangnya diberi gelaran Po Oulah yang bermaksud Wakil Allah kerana keIslaman mereka. Mengikut Willoughby (1991) pula, ada teks China yang menyatakan seorang duta Campa ke China pada 951M yang Islam bernama Pu Ho San (iaitu transliterasi China kepada Abu al-Hasan) dan pada 960M suatu delegasi diplomat Campa seramai 100 orang yang diketuai oleh Pu Lo E (transliterasi China kepada Abu Ah) melawat ke China; dan setahun kemudian rombongan seramai 300 orang diketuai oleh Hu Xuan (transliterasi China kepada Hussain) yang bertujuan yang serupa.
Walaupun pada tahun 1478M, raja Campa Bo Tri Tri menguasai Vietnam selatan sekarang, di Kauthara dan Panduranga, dan kerajaan Campa baru ini diiktiraf China, namun keadaannya “hidup segan mati tak mahu” sahaja. Kerajaan Campa baru ini dikatakan berupa kerajaan yang rajanya beragama Islam dan membuat hubungan baik dengan kerajaan rumpun Melayu Islam di Alam Melayu ini seperti Kerajaan Melaka, dan Johor-Riau. Dalam keadaan diasak oleh Vietnam, raja Campa Islam bernama Po Klau Halu (1579-1603M), masih mampu menghantar pasukan tenteranya membantu kerajaan Johor menentang Portugis. Pada 1653M kerajaan Campa mengecil lagi sehingga hanya tinggal di Pandurangga (Phanrang sekarang) sahaja. Akibat peperangan saudara kerajaan Vietnam, kerajaan Campa Panduranga tersepit dan rajanya Po Cei Brei pada 1802M bersama ribuan pengikutnya lari ke Kampuchea. Raja Campa di Panduranga sejak itu berupa patung kerajaan Vietnam sahaja. Kebangkitan orang Campa menentang Vietnam cukup acap kali berlakunya tetapi yang agak besarnya (ramai yang mengatakan terakhir besarnya) ialah pada 1833-1935 di bawah pimpinan mujahid Katip Sumat dan nasionalis Ja Thak Va. Kematian mereka ini boleh dikatakan menamatkan riwayat penentangan Campa di Vietnam, walaupun saki baki pemberontakan orang-orang Campa (bersama-sama dengan peribumi Indochina yang lain) berjaya membentuk pakatan pemberontakan yang bernama FLM=Front de Liberation des Montagnards = Barisan Kebebasan Penghuni Gunung 1955 dan menukar namanya kepada BAJARAKA = Bahnar+Jarai+Rade+Kaho (nama suku-suku kaum Campa) 1958 dan kemudiannya bersatu dengan beberapa barisan pemberontak di Kemboja termasuk FLC= Front de Liberation du Champa = Barisan Kebebasan Campa yang ditubuhkan oleh Kol. Les Kosem, Kolonel Cam di Kemboja lalu menjadi FULRO=Front Unifie de Lutte des Races Oprimees = Gabungan Barisan Pembebasan Bangsa-Bangsa Tertindas) 1963. Barisan kebebasan Campa ini melancarkan beberapa kali pemberontakan di Vietnam selepas tahun 1955 itu (Lihat Mohammad Zain dan Nik Hassan Suhaimi 2004, dan Po Dharma 2005b). Mereka ini mahu kuasa autonomi di kawasan pergunungan di Vietnam Tengah (Provinsi Kontum) kawasan yang didiami khas oleh orang-orang Campa (mendapat perlindungan) pada masa pemerintahan Perancis di Vietnam dahulu. Kawasan ini di rampas oleh kerajaan Vietnam sejak pemerintahan Ngo Din Diem untuk penempatan pelarian Vietnam Utara pada 1955 dari tekanan komunis.
Pemberontakan FULRO yang agak besar kerana mendapat sokongan kerajaan Kemboja ialah pada 1964 tetapi gagal sepenuhnya. Pada 1973 lagi sekali pemberontakan FULRO di bawah Kpa Koi berlaku bersama komunis dan berjaya merampas wilayah pergunungan Vietnam Tengah itu. Namun pada 1975 komunis Khmer Rouge berjaya menawan Kemboja dan Jen. Les Kosem pun lari ke Perancis dan semua pemimpin FULRO yang lain ditangkap dan dibunuh bersama-sama ratus ribuan, malah dilaporkan jutaan, orang Khmer, satu pembunuhan beramai-ramai yang bersistem dan terkenal itu, tetapi tidak begitu dihebah-hebahkan sangat di Alam Melayu ini kerana kepekaan rumpun Melayu ketika itu pun kepada orang Campa sudah hampir tiada, atau tidak setinggi terhadap Melayu Patani lagi. Pada 1979 Khmer Rouge memaksa FULRO yang diketuai Kpa Koi bersatu dengannya untuk melawan Komunis Vietnam dan Khmer Rouge berjaya pada 1994, tetapi FULRO tiada mendapat apa-apa, malah terus ditindas lebih teruk lagi! Selepas itu FULRO meminta Bangsa-Bangsa Bersatu membenarkan FULRO berhijrah ke Amerika Syarikat dan terus berjuang dari jauh. Pada 2001 kaum minoriti di Vietnam Tengah (dengan sokongan FULRO?) memberontak lagi dan kerajaan Vietnam memerintahkan penghapusan total kaum minoriti ini lalu beribu-ribu orang Campa ini lagi lari ke Kemboja lagi dan meminta izin Bangsa-Bangsa Bersatu untuk berhijrah ke AS. Pada 10 dan 11 April 2004 kaum minoriti Vietnam ini dengan sokongan FULRO memberontak lagi dan Hanoi menghancur-leburkannya. Sedihnya berita-berita pemberontakan ini langsung tidak sampai kepada kita kerana kepekaan kita terhadap rumpun sendiri itu sudah lenyap ditimbus oleh kolonialisme dan kemudiannya nasionalisme sempit kita.
Corak pemerintahan Campa adalah dipengaruhi oleh sistem keagamaan Hindu dan Budha yang danuti oleh semua rajanya sehingga kurun ke-15. Raja memiliki kuasa mutlak. Mengikut buku Maspero (1920/2002, sistem pentadbiran Campa cukup kemas, nisbah zaman itu, dengan adanya pelbagai pegawai kerajaan termasuklah adanya para purohita (ketua-ketua jabatan), Brahma, ahli nujum, pandit (pendeta/ilmuwan), dan Ketua Perkhidmatan Awam. Negaranya dibahagi kepada beberapa jajahan/wilayah dan setiap jajahan ini dibahagi kepada beberapa buah daerah/provinsi yang dinamainya pramana dan vijaya yang masing diperintah oleh keluarga raja yang bergelar uran (menjadi “orang” dalam bahasa Melayu sekarang). Setiap raja jajahan (gabenur/gubanur) ada tidak kurang daripada 50 pegawai pentadbir termasuk juru akaun. Setiap jajahan boleh dikatakan bebas daripada pusatnya, masing-masing membina kekuatannya sendiri. Tentera berperang (ada tentera khusus yang bergajah dan berkuda) diiringi dengan muzik/serunai perang, secara berkumpulan lima-lima; jika seorang lari, maka semuanya boleh dihukum bunuh. Asykar bertaraf jeneral digelar Mahasenapati atau Senapati (sama seperti Kerajaan Funan). Semua asykar bersumpah pada raja untuk berjuang sehingga ke akhir hayat. Mereka memperoleh berbagai-bagai subsidi dan tidak dikenakan cukai.
Bagaimana teraturnya pentadbiran dan pengurusan kerajaan Campa yang terbayang daripada kewujudan jawatan-jawatan itu dapat difahami lagi dengan adanya sistem subsidi dan cukai kepada kaki tangan kerajaannya, adanya unit-unit sukatan seperti yak dan jak (untuk berat atau isipadu beras dan sebagainya) yang masih dipakai oleh para petani sekarang, di Kelantan umpamanya; sukatan jarak li dan chang (kira-kira sama dengan 10 kaki atau sekitar 3 meter); unit luas yang dinamai sinjol, makik, malau dan satam; unit berat tael (ejaan Melayu kini ialah “tahil”, dan masih dipakai hingga sekarang), dram (sekitar 3 gm dan 12 dram = setael; di Barat drum yang berpunca drp bahasa yang sama, Sanskrit: drama, digunakan untuk isipadu cecair), thil atau tei untuk emas dan benda-benda yang berharga seperti itu (sekarang menjadi tahil juga), karsa atau kar untuk benda lain yang seberat thil juga, kemudian unit yang lebih tinggi lagi: pala = 4 karsa, tula = 100 pala dan bhara = 20 tula. Unit-unit lain lagi yang belum diketahui kuantitinya mengikut sukatan moden ialah panda, kattika dan pana. Semua ini berlaku sekurang-kurangnya sejak abad 8M lagi. Wujudnya sistem unit sukatan yang agak lengkap ini tidak menghairankan apabila mengenangkan Campa juga, bersekali dengan Kerajaan Funan-Chenla, sudah mendahului dunia dalam ciptaan sistem angka perpuluhannya dengan wujudnya sistem tersebut sekurang-kurang sejak abad ke-6M lagi (lihat Fazura 2005). Unit-unit sukatan di atas wujud di Campa sekurang-kurangnya dalam abad ke-12M kerana unit-unit itu tercatat di prasasti Campa bertarikh 1150M
Bilangan tiga, tujuh dan seratus menjadi nombor mistik Campa dalam upacara kematian yang masih diwarisi oleh orang-orang rumpun Melayu sekarang walaupun ini bertentangan dengan ajaran Islam: orang biasa dibakar secepat mungkin pada hari kematian, bagi orang besar upacara dibuat 3 hari selepas kematian, raja selepas 7 hari dan 7 hari kemudian orang datang membakar jostik dan menangis lagi pada abu mayat dan ini diulangi 7 kali setiap minggu sekali, pada hari ke-100 selepas 3 tahun kematian mereka membuat upacara mengingatkan kematian itu lagi.
Di sepanjang wujudnya kerajaan Campa itu, tentu wujud pemimpin-pemimpin besarnya yang mengamalkan suatu cara kepemimpinan dan kepengurusan yang dianggap hebat sekurang-kurang pada zaman itu, terutamanya pada zaman kemuncaknya yang dinamai Zaman Mison atau My-Son itu. Umpamanya, Raja Bharavarman I (abad ke-6M) itu layak ditakhtakan sebagai seorang raja agung kerajaan Campa, dan jika seseorang mahu mempercayai (harus sahaja) adanya Rasul atau Nabi bagi rumpun Melayu (Campa), sesuai dengan gambaran yang diimplikasikan oleh beberapa ayaht al-Qur‘aan itu (yang ditafsirkan oleh ulama, Hamka umpamanya, bahawa setiap kaum besar ada nabi atau rasul yang menyampaikan ilmu wahyu dalam bahasa kaumnya sendiri), maka baginda mungkin layak menjadi calonnya. Raja-raja agung campa diberi gelaran Cakravantin (yang bermakna Pemimpin Alam) dan ciri-ciri Cakravantin ini dibincang berasingan kelak (lihat Bab 3). Ini berbeza dengan raja-raja Funan, Chenla dan Kambujadesa atau Angkor yang agung yang nampaknya tidak diberi gelaran Cakravantin tetapi diberi gelaran Deva-raja, Rajadhiraja, Maharajadhiraja dan lain-lain itu yang telah disebut dalam seksyen 1.6. dahulu.
1.8. Kerajaan Melayu Sriwijaya: Bayangan Kepemimpinan dan Kepengurusannya
Maklumat yang dipaparkan di sini diperoleh dan diolah daripada internet dengan meminta “indonesian history”, srivijaya, sailendra, khususnya di Internet 1.8 di dalam senarai rujukan buku ini dan juga daripada buku Chatterji (1967), Sastri (1949), dan Slametmuljana (1970,1981), dan lain-lain yang dinyatakan dalam teks di tempat-tempat yang berkenaan.
Kerajaan Sriwijaya (atau Srivijaya) wujud pada akhir abad ke-7M hingga ke-13M berpusat di Palembang, Sumatera dan pada kemuncaknya keluasan empayarnya benar-benar meliputi rantau yang terkenal sebagai Alam Melayu, iaitu hingga ke Sri Lanka (dikenali pada Zaman itu sebagai Sirandip/Suvarndip/Silan), Thailand Selatan, hingga ke Taiwan di Utara, dan merangkumi Philippina dan Sulawesi ke Timur dan hingga sebahagian besar pulau Jawa di Selatan (Shaharir 1987/2000). Kewujudan seorang raja negeri yang sekarang namanya Sri Lanka pada masa dahulu kala yang bernama Serendip yang dikatakan selalu mendapat nasib yang baik itulah menyebabkan Inggeris tertarik untuk menjadikannya satu perkataan baru bagi Inggeris, iaitu serendipaty, yang membawa maksud itu. Pusat pemerintahan kerajaan Sriwijaya yang awal ialah Bukit Seguntang/Siguntang, tetapi kemudian berpindah ke Jambi (yang dicatat di prasasti di Batang Hari 1286M itu sebagai malayapura), dan ada pendapat mengatakan Chaiya (daripada “Cahaya”) di Surat Thani, Thailand Selatan sekarang pun pernah menjadi pusat Kerajaan Sriwijaya apabila kerajaan Langkasuka dapat dijadikan jajahan takluknya (Lihat Internet 1.12; dan seksyen 1.9). Berkenaan Bukit Seguntang sebagai pusat pemerintahan Sriwijaya itu amatlah bersesuaian dengan cerita dalam Sejarah Melayu oleh Tun Sri Lanang (1612) itu. Kerajaan Campa masih wujud dan menjadi saingan kerajaan Sriwijaya, tetapi ternyata Kerajaan Sriwijaya-lah yang diiktiraf gagah dan bertamadun yang lebih tinggi seantero dunia sebagaimana yang digambarkan oleh catatan dalam bahasa China sebagai negara komersil dan kerajaan yang besar dengan pelbagai nama (apabila ditranskripsi ke Rumi oleh Sarjana Barat). Antaranya ialah Syel-li-fo-sye’/She-li-fo-she’/shelifosche/Se-li-fo-se/San-fopts’i/Sanfotsi/ Fo-che dalam kurun ke-10 hingga ke-14M, tetapi pada abad ke-7M (peringkat awal Kerajaan Sriwijaya) penulis China merujuknya sebagai He Ling dan Ka Ling, atau nama Sumatera, iaitu Ku-Kang, P’o-lin-pang/Pao-lin-pang/Pa-lin-pang/Pa-lin-fong. Sumber Hindu ada yang merujuk Sriwijaya ini sebagai Sribhoja, dan ada yang merujuk dengan nama tempat kerajaan Sriwijaya sahaja, iaitu Suvarnadvipa (Sumatera). Sumber Arab menyebut Sriwijaya sebagai Zabaj/zabag/Sribuza/Sribusa (apabila sarjana barat mentranskripsikannya kepada Rumi) iaitu daripada Sribhoja itu, dan ada yang merujuk atas nama tempat kerajaan ini, sebagai Rami/Ramini/Ramni (iaitu Sumatera, walaupun ada yang berpendapat ini juga merujuk kepada Mon) yang pelbagai.
Mengikut Zulkifli (t.t), pada sekitar 692 (selepas matinya Maharaja Raja Jayanaga), Kerajaan Sriwijaya terbahagi kepada dua bahagian: kawasan Langkasuka yang diberi nama barunya Amdan Negara diletak di bawah anak tua mendiang raja itu, Maharaja Dipang; dan anak keduanya, Maharaja Dhiraja, memerintah Sumatera dan tanah jajahan Sriwijaya yang lain. Selepas beberapa tahun demikian, sebahagian daripada Amdan Negara, iaitu kira-kira Kelantan sekarang diberi nama Tanah Serendah Sekebun Bunga, dan nama ini masih dipakai di Kelantan dan dalam Mak Yong dan Wayang Kulit Kelantan. Pada 730M ibu kota Sriwijaya di Sumatera, Langkapura di Palembang, berpindah kepada Kota Mutajap yang hampir dengan muara sungai Jambi di Sumatera.
Bukti kehebatan pengurusan zaman Sriwijaya (bersama kerajaan Sailendra di Jawa Barat dan Tengah sekarang) juga terpancar daripada penyiapan Candi Borobudur di Yogyakarta, Jawa Tengah yang dibina di sekitar abad ke-8M dan menjadi satu daripada benda ajaib dunia itu. Ilmuwan China bernama I-Ching/I-Tsing/Ye-Shing/Yi Jing 688-695M berada di Palembang untuk menyalin ratusan buah buku ilmu dalam bahasa tempatan (Melayu) yang dirujuki sebagai Kunlun (dan berbagai-bagai ejaan yang lain lagi itu termasuk ejaan sarjana Perancis: Koeun Louen) yang asal-usul perkataan ini telah dibicarakan dalam Bab 1, seksyen 1.6.
Bukti yang jelas betapa sistem pemerintahan dan pengurusan zaman Sriwijaya berupa suatu keadaan yang dikagumi ialah pengakuan seorang pegawai kastam dari China pada abad ke-13M yang bernama Cau (Chau) Ju-Kua yang mencatatkan pentadbiran Sriwijaya yang hebat dan teknologi yang canggih tentang pelabuhan di Sriwijaya dan tentang kehebatan Wat Angkor. Satu lagi bukti pengurusan yang berbezanya dengan tamadun-tamadun lain sezamannya atau sebelumnya ialah betapa rekod-rekod pengurusan perniagaan dan sebagainya dapat dilakukan dengan lebih mudahnya dengan adanya sistem angka perpuluhan rekaan sarjananya selewat-lewatnya abad ke-7M lagi seperti yang dihuraikan oleh penulis ini di tempat lain itu (Shaharir 1998/2000). Ringkasnya, sistem angka perpuluhan ini dikumpul oleh penulis ini daripada prasasti (batu bersurat) zaman Sriwijaya dan bentuk seperti tulisan Hindia purba (khususnya Pallava) tetapi berbeza daripada angka-angka Hindia itu. Malah kajian kami selanjutnya (Shaharir 2007 dan Alinor 2007) menunjukkan angka perpuluhan Melayu ini boleh dipercayai yang tertua di dunia hasil karya sarjana Melayu Campa atau Funan lagi. Contoh angka Melayu kuno ini ialah ……………untuk angka 1945. Beberapa unit bilangan yang berupa awalan berbentuk bi-/dwi-, tri-, catur-/kater-, panca-/sanki-, sisi-, sita-/septa-, witi-/asta-, nuka-, wisyi-/dasa- (terkenal sebagai penjodoh bilangan, atau pekali angka) dipercayai telah wujud dalam zaman Sriwijaya lagi; dan tiada padanan sepenuhnya dengan yang dicipta di Eropah mulai abad ke-13M hingga ke-17M sahaja itu (iaitu by-/bi-, tri-, quadri-, quyl-, six-, septi-, octa-, nony-/noni-) dan tiada juga padanan sepenuhnya dengan yang dicipta dalam Tamadun Hindu. (Perinciannya dalam Warkah Berita PERSAMA 2004). Bilangan laksa, keti dan juta sudah ada zaman Sriwijaya tetapi di Barat, million baru dicipta abad ke-13M bahkan tiada unit Barat yang setara dengan laksa dan keti.
Dalam buku Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu karya Tun Sri Lanang 1612 (asalnya manuskrip Jawi) ada menggambarkan corak kepemimpinan dan kepengurusan Melayu sebelum Islam yang boleh dianggap Sriwijaya kerana merujuk Palembang. Di dalamnya ada perihal sumpahan raja pertama Melayu di Palembang, Sang Utama Sri Tri Buana dengan Demang Lebar Daun (Menterinya, yang mewakili pegawai-pegawai kerajaan dan rakyat jelata) yang sekaligus memberi sifat-sifat pemimpin atau pengurus Melayu dan orang Melayu Sriwijaya:
1. Raja tidak boleh sekali-kali memalukan orang bawahnya walau sebesar mana sekalipun dosa orang bawahannya itu.
2. Raja tidak sepatutnya digodak-godek, dipertanggungjawabkan atau di kutuk dengan kata-kata yang tidak menyenangkan.
3. Orang Melayu pantang menderhaka kepada rajanya, malah orang Melayu tidak sanggup menunjukkan apa-apa kelemahan rajanya.
Ini menjadi ciri-ciri kepemimpinan Melayu yang perlu disedari atau diinsafi oleh pemimpin-pemimpin sekarang sekalipun apabila “raja” dalam 1 hingga 3 di atas itu digantikan dengan “pemimpin”. Umpamanya, ketua dalam organisasi Melayu tidak seharusnya menegur seseorang bawahannya di khalayak ramai atau di hadapan para pekerja lain. Ini bertentangan dengan budaya Barat yang terbuka itu.
1.9. Kerajaan Melayu Langkasuka-Patani
Maklumat yang dipaparkan di sini dipetik daripada beberapa sumber internet (Lihat Internet Langkasuka dan Internet 1.12) dan beberapa buah buku seperti Che Man (1990), Dahlan (1979), Ibrahim (1950/1961), dan Ahmad Fathy al-Fatani (1994/2001) dan lain-lain yang dinyatakan dalam teks nanti .
Langkasuka (atau mengikut Tarikh Fathani transliterasi Wan Mohd Shaghir 1998, ejaannya Langqasuka sebab jawinya huruf qaf bukan kap) ialah sebuah kerajaan Hindu-Budha Melayu yang kawasannya ialah utara Semenanjung Malaysia (Perlis, Kedah, Perak Utara, Trengganu dan Kelantan dan seluruh Thai Selatan sekarang (Pattani, Yala=Jalor, Narathiwat=Teluban, Songkhla=Songgora dan Satun = Setol). Pusat pemerintahannya di Patani (walaupun ada segelintir sejarawan mengatakan Kedah) yang wujud sejak kurun ke-1M hingga ke-8M walaupun namanya kekal hingga abad ke-15M. Nama kerajaan ini daripada perkataan Sanskrit: langkha yang bermakna “tanah yang indah permai” dan sukkha bermakna “suka” atau “bahagia”. China dahulu merujuk kerajaan ini sebagai Lang-his-chia atau Langya-hsiu/Lang-Ya-Hsiu (tetapi mengikut Tarikh Fathani, China juga merujuknya sebagai Caihatu/Cai Ha Tu). Tulisan Hindia dahulu menyebut nama kerajaan ini sebagai Ilangâśogam. Pengembara China terawal ada mencatatkan lawatannya ke Langkasuka pada tahun 200M. Dalam Hikayat Merong Mahawangsa, salinan tertuanya bertarikh 1598 yang disimpan di UKM dan versi terbaru dalam Rumi diterbitkan 1998 oleh Yayasan Karyawan dan UM) ada menyatakan Langkasuka terletak di negeri Kedah (kawasan tebing sungai Merbok) hingga ke pantai Laut China Selatan. Tidak syak lagi, inilah sumber yang menyokong pihak yang mengatakan pusat Langkasuka itu di Kedah, tetapi banyak sumber lain yang tidak menyokong hipotesis ini. Bukti konkritnya ialah prasasti yang dijumpai di Jerang dan Djere/Jere (di Patani) dan buku Negarakertagama (karya Prapanca 1365, dalam bahasa Jawa Kuno yang dijumpai di Lombok 1894) yang menyatakan Jerang dan Jere (di Patani) ialah ibu kota Langkasuka.
Seorang raja Langkasuka bernama Bhaga Datta 515M masih beragama Hindu Brahma, tetapi setelah Srivijaya menakluk satu tempat penting Langkasuka yang bernama Ligor (kini namanya Nakorn Sri Thamarat) pada 775M dan mengembangkan penaklukannya hingga merangkumi Patani sekarang maka Langkasuka mula meninggalkan Hindunya dan bertukar kepada Budha. Sejak abad ke-8M itulah Langkasuka membayar upti/ufti kepada Srivijaya. Mengikut Zulkifli (t.t), yang dipetiknya drp catatan China, kerajaan ini mencapai pembangunan budaya dan ekonomi yang tinggi dan beragama Budha. Abad ke-8 mula di bawah Sailendra dan Sriwijaya. Sekitar abad ke-11 berada di bawah Rajendra Chola raja India Selatan. Ada catatan sejarah Pali India abad ke-15M bahawasanya ada seorang raja Melayu Ligor bernama Sujitaraja (beragama Budha) berkahwin dengan puteri Khmer dalam separuh kedua abad ke-10M. Keakraban Langkasuka dgn Khmer berlarutan hingga abad ke-11M dan mendapat sinergi yang kuat daripada persemendaan/perbesanan ini.
Raja terakhir Langkasuka atas nama raja Patani ialah Phya Tu Nakpa yang memeluk Islam pada 1457 dan menukar namanya kepada Sultan Ismail Shah Zolallah fi al-‘Alam dan Fatani Dar al-Islam (Ahmad ‘Umar 2002). Akan tetapi mengikut Hikayat Merong Mahawangsa raja Langkasuka yang pertama memeluk Islam ialah yang bernama Phra Ong Mahawangsa pada 1136 dan menukar namanya kepada Sultan Mudzafar Shah (Dipetik drp ensiklopedia Wikipedia di Internet 1.13). Ibrahim (1950/1961) menyebut nama raja Patani yang pertama masuk Islam itu ialah Raja Antira/Indera dan menukar namanya kepada Sultan Muhammad Syah. Namun mengikut Ahmad ‘Umar (2002) raja-raja ini orang yang sama sahaja kerana nama anak-anaknya sama sahaja. Kerajaan Patani wujud hingga 1902 dan separuh daripada kesultanannya amat rapat dengan Kesultanan Kelantan. Namun banyaklah sumber lain lagi yang menyatakan Islam bertapak di Langkasuka/Patani sejak abad ke-11M lagi (contohnya buku Abdullah 1992). Ada pula sumber lain lagi yang dipetik oleh Ibrahim (1950/1961) menyatakan ada raja di Patalung/Batalung (di daerah Kerajaan Langkasuka dan nampaknya lebih awal daripada Phya Tu Nakpa itu) yang beragama Islam dan bernama Sultan Sulaiman. Nama Langkasuka hilang sebaru-barunya selepas abad ke-15M ini dan diambil alih oleh nama barunya, Petani atau Patani. Nama Petani atau Patani ini kemudiannya di-Arab-kan menjadi Fatani/Fathani, atau ejaan kami, Fatdani (oleh sarjana Patani terkenal Syeikh Ahmad al-Fatdani pada akhir abad ke-19M). Sejak abad ke-20 nama itu di-Siam-kan/di-Thailand-kan menjadi Pattani. Sesungguhnya antara abad ke-15M hingga abad ke-18M Patani menjadi sebuah kerajaan yang terkenal sehingga menjadi pusat tamadun rumpun Melayu hingga abad ke-20M dengan kemunculan puluhan sarjana agungnya yang bernama akhirnya al-Fatdani seperti Syeikh Daud al-Fatdani (yang termasyhur seantero dunia Islam dan hidup dalam 1769-1847, dan Syaikh Ahmad al-Fatdani (yang terkenal sebagai sarjana polimates sehingga ada yang mengatakan beliau menguasai puluhan bidang ilmu, di samping juga seorang pejuang bahasa dan kebudayaan Melayu sepanjang hidup dalam 1856-1908) yang senarai penuhnya dicatatkan oleh Ahmad Fathy al-Fatani (2002). Ada banyak cerita asal-usul nama negeri Patani seperti daripada “pantai ni” dan “pak tani”. Dalam manuskrip Ceritera Negeri Patani (nampaknya lain daripada Hikayat Patani yang lebih masyhur itu kerana lamanya buku ini ditulis, mungkin setua Sejarah Melayu oleh Tun Sri Lanang 1612 itu, dan menjadi satu daripada manuskrip Jawi Melayu yang tua, malah salinannya yang ada di Library of Congress AS bertarikh 1730; lain juga daripada Tarikh Fatani karya Syeikh ‘Ali bin Wan Muhammad al-‘Abbasi sekitar 1450-1500M yang salinannya oleh Syeikh Daud al-Fatdani bertarikh 1228H/1813M itu (mengikut Wan Mohd Shaghir 1998) yang dipetik oleh Ibrahim (1950/1961) itu, raja yang pertama membuka Patani ialah raja keturunan negeri “Kota Mahligai” di daerah Perawan (drp perkataan Siam: Pra Wang) yang bernama Raja Seri Wangsa, dan ini sama dengan yang tercatat dalam buku Sejarah Melayu itu yang disebut sebagai Raja Seri Bangsa.
Raja-raja Patani (Langkasuka Islam) bermula dengan Sultan Ismail Shah ialah anak-cucu-cicit-ciak-ciut-nya Sultan Muzafar Shah (menyerang Siam 1563 dengan 200 buah kapal dan ribuan tentera dan menawannya sekejap sebelum dikalahkan balik oleh Siam beberapa tahun kemudiannya), Sultan Mansur Shah, Patik Siam, Raja Bahadur dan diikuti oleh raja-raja perempuan atau ratu-ratu Patani: Raja Hijau (mulai 1584), Raja Biru, Raja Ungu dan Raja Kuning (mati 1651) yang dianggap zaman keemasan Patani. Siam menggelar ratu-ratu ini sebagai Phra Nang Cao Yang yang bererti Baginda Raja Perempuan, tetapi kemudian di-Melayu-kan kepada “Raja Nan Cayang”. Memang ada ahli sejarah yang menamakan raja-raja perempuan itu dengan nama Ratu seperti Ratu Hijau dsbnya itu, tetapi ini bukan nama rasmi dan penulis itu dipengaruhi Inggeris yang merujuk raja-raja itu sebagai Queen itu. Zaman keemasan inilah Patani menyerang/diserang Siam 1603, 1632, 1634 dan 1638 dengan kemenangan Patani, walaupun Siam mendapat pertolongan Belanda (secara sulit). Kehebatan Patani dalam teknologi terpancar daripada masyhurnya mariam ciptaannya yang diberi nama Seri Negara, Seri Patani dan Mahalela. Kekuatan tentera Patani terbukti daripada kemampuannya mengerah ratusan ribu asykar dan pahlawannya dan kekuatan bentengnya yang terkenal Benteng Raja Biru. Tetapi mulai akhir abad ke-17M Patani mulai merosot dan pada 1785 Patani ditakluki, dan pada 1909 Inggeris menyerahkan Patani kepada Siam dalam percaturan politik liciknya di atas kelemahan raja-raja dan pemimpin Melayu. Kekayaan dan kebobrokan raja Patani pada zaman Raja Kuning ada digambarkan oleh seorang Inggeris bernama Hamilton yang melawat rasmi ke Patani apabila beliau mencatatkan adanya ‘sebuah caping emas” yang dibuat oleh Raja tersebut yang “besarnya satu hasta beratnya lima kati”.
Dalam Perang Dunia Kedua, seorang putera mantan Raja Patani terakhir sebelum terjajah (Tengku Abdul Kadir Kamaruddin) yang berpangkat Major dalam pasukan tentera British di India Force 136 Maj. Tengku Mahmood Mahyideen namanya, sungguh memberi harapan besar kepada rakyat Patani membebaskan dirinya dari Siam kerana kemarahan British terhadap Siam yang menyebelahi Jepun. Tengku Mahmood Mahyideen telah mengemukakan rayuan kepada pihak berkuasa British di India supaya mengambil wilayah kerajaan Patani dahulu itu dan digabungkan dengan Tanah Melayu (Malaya) dan usahanya itu memang diketahui oleh pasukan pembebas Patani yang bergerak sejak awal penjajahan Siam ke atas Patani itu. British difahami oleh Tengku Mamood Mahyideen sebagai membayangkan persetujuan rayuan ini. Sesuai dengan Perisytiharan San Francisco pada bulan bulan April 1945 oleh Kuasa-Kuasa Berikat yang menerima prinsip hak menentu nasib sendiri daripada belenggu penjajahan, maka pada 1 November 1945, sekumpulan pemimpin Melayu Patani dipimpin oleh Tengku Abdul Jalal, telah mengemukakan petisyen kepada Kerajaan British merayu supaya empat wilayah di Selatan Siam dibebaskan daripada pemerintahan Siam dan digabungkan dengan Semenanjung Tanah Melayu. Namun apabila Perang Dunia tamat pendirian British terhadap Siam turut berubah. British mahu kepentingannya di Asia Tenggara ini masih terjamin. Siam menggunakan senjata berasnya ke atas tanah jajahan Inggeris di Asia Tenggara untuk tujuan politiknya. Kerajaan British juga berpendirian perlunya dia mengubah dasarnya terhadap Siam atas desakan sekutunya, AS, yang mahu mengekalkan pengaruhnya ke atas wilayah Siam seperti sebelum Perang Dunia dahulu. Kebangkitan Komunis di Asia Tenggara, khususnya di Tanah Melayu sendiri pada tahun 1948, menjadi faktor berubahnya dasar British di Tenggara Asia khususnya terhadap nasib Patani. Dalam hal ini, British mula menganggap Siam sebagai negara penampan ancaman Komunis China ke Asia Tenggara. Justeru, British bertekad untuk memastikan kestabilan politik Siam dan memihak Barat. Khususnya, British berpendapat kerjasama dengan Siam amatlah perlu bagi menghapuskan kegiatan penganas-penganas Komunis di perbatasan Tanah Melayu dengan Siam itu, dan Patani wajarlah dikekalkan dipangkuan Siam!
Dengan perkembangan ini, maka selepas Persidangan Songkla pada awal Januari 1949, pihak British di Tanah Melayu atas kehendak pihak Siam mula mengambil tindakan terhadap pemimpin-pemimpin pejuang Patani. Pertubuhan pembebasan Patani diharamkan dan Tengku Mahmood Mahyideen terus ditekan, manakala ramai para pemimpin barisan pejuang patani termasuk ketua pejuang dan ulama Patani yang bernama Haji Sulung dihukum penjara dan akhirnya mati tanpa kubur. Pergerakan politik Patani semakin lemah dengan kematian Tengku Mahmood Mahyideen sendiri pada tahun 1954 (mati dibunuh juga). Sejak itu pemberontakan para pejuang Patani hanya bertindak sebagai perjuangan gerila yang kekuatannya ibarat air pasang-surut sahaja sehingga sekarang. Satu kisah perjuangan Patani 1902-2002 yang cukup komprehensif dan apadat dapat ditelaah dalam buku Ahmad ‘Umar Capakis (2002), yang antara lainnya menceritakan dasar dan perjuangan beberapa barisan pembebasan patani seperti GAMPAR (Gabungan Melayu Patani Raya) yang ditubuhkan pada 1948 di Kelantan dengan pemimpin pertamanya Nik Mahmud Abdul Majid yang berjuang untuk menyatukan Patani dengan Malaya/Persekutuan Tanah Melayu, BRN (Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani yang ditubuhkan pada 1960 yang berjuang untuk autonomi Patani, yang pemimpin pertamanya Tg Abdul Jalaludin, dan yang terkenal hingga sekarang, PULO (Patani United Liberation Organisation) yang ditubuhkan pada 1967 untuk berjuang bagi kemerdekaan Patani yang diketuai pertamanya oleh Tg Bira Kutanila.
Tambahan Pascaterbit:
Ejaan “Melayu” atau sebahagian negaranya “Malaya” (Semenanjung Malaysia+ Thailand Selatan + Singapura) itu adalah versi ejaan Rumi/Latin yang muncul tahun 1950-an sahaja. Walaupun system ejaan Rumi bahasa Melayu di bawah jajahan Inggeris pertama kali dibuat oleh Wilkinson 1904, dan diperbaiki oleh Za‘aba pada 1949, sistem-sistem itu tidaklah dikuti dengan setianya kerana adanya sistem transliterasi Arab-Rumi oleh penulis-penulis Eropah, sedangkan Jawi ialah huruf Arab dengan tambahan hanya beberapa huruf rekaan orang-orang “Melayu” kerana keperluan sebutan perkataannya yang ejaannya kurang sempurna jika hanya dipakai huruf Arab asli sepenuhnya. Sebelum 1957 nama bangsa dan negara “Melayu” sekarang ini ditulis dengan rasminya dalam Jawi (mim lam alif ya yang bagi orang yang tidak tahu cara bacanya yang sebenar boleh jadi Mlaya, Malaya, Melaya, Mlayu, Malayu, Melayu atau Mlayi, Malayi, Melayi). Oleh itu ejaan Ruminya memanglah pelbagai. Mengikut petua transkripsi Arab-Rumi oleh sarjana Orientalis (sejak abad ke-19 lagi) ejaannya tentulah menjadi Mlay, Mlaya atau Mlai dan bacaannya tentunya mengikut loghat bangsa-bangsa Eropah itu. Bagi orang awam di Eropah, ejaannya berbagai-bagai sehingga mewujudkan ejaan Inggerisnya Malay dan Malaya, Perancis: Malais dan Malaise, Sepanyol: Malaio dan Malayo Portugis Malaio and Malaia. Di singapura, apabila akhbar Jawi hendak di-Rumi-kan oleh Jepun (Zaman Pemerintahan Jepun di Asia Tenggara) pada tahun 1943 ejaan Jawi untuk sekarang ini di-Rumi-kan sebagai “Melayu” atau “Malaya” dieja sebagai Malai lalu akhbar “Melayu” Rumi pertama di Singapura dan “Malaya” namanya Berita Malai. Tentunya bacaan Malai pada masa itu ialah mengikut bacaan Jawinya iaitu Ma-la-yu atau Me-la-yu atau Ma-la-ya atau Me-la-ya. Huruf Jawi dalam tamadun bangsa di Asia Tenggara ini digunakan sejak abad ke-14M hinggalah pertengahan abad ke-20 ini (Indonesia mengisytiharkan huruf Rumi/Latin sebagai huruf rasmi bahasanya apabila tertubuhnya negara baru itu pada 1945; Persekutuan Tanah Melayu (PTM) mengisytiharkan huruf Rumi/Latin sebagai huruf rasmi bahasanya apabila tertubuhnya negara baru itu pada 1957, dan diikuti oleh Sabah, Sarawak dan Singapura apabila apabila tanah jajahan Inggeris itu bersama PTM menubuhkan negara baru bernama Malaysia pada 1963. Hanya Brunei yang masih menggunakan Jawi secara rasmi bersama Rumi sehingga sekarang. “Rumpun Melayu” di negara-bangsa lain seperti Patani (di Thailand) dan Campa (asalnya di Vietnam tetapi kini boleh dikatakan hanya di Kemboja sahaja) dan Mindanao (Filipina) masih juga menggunakan Jawi dalam urusan agama/Islam di samping huruf rasmi negaranya masing-masing).
Nota: Tulisan ini merupakan salinan dari bab 1 Buku Shaharir b.M.Z.2008. “Pembinaan Semula Teori Kepemimpinan dan Kepengurusan Alam Melayu”. Penerbit Universiti Malaysia, Terengganu

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Menurut Ibn Khathir, Sami Abdullah Al Makhluth, Khitab Tarikh Al Hukama dll, berlandaskan Al Quran, sepakat menyebut: TAMADUN MANUSIA BERMULA DARI NABI IDRIS AS, baginda diutus buat kaum Nabi Syits AS, jurai Qabil, putera Adam AS. Nabi Idris AS dianugerahkan dng berbagai bagai kepandaian dan kemahiran antaranya: mahir mengukir sgala jnis btu permata, melukis, menulis, mengira, mengukur dan menjahit serta yg paling utama berpengetahuan tinggi dlm ilmu astronomi. Baginda dilahirkan di MUnaf/Memphis dan digelar HurMUs Al Haramisah, manakala kaumnya dipanggil kaum Hurmus/MU/Lemuria. Di zaman baginda telah terdapat 72 pecahan kaum dan bahasa serta telah menggambarkan 188 buah kota di atas lempeng tanah liat dan logam. Baginda juga bertanggung jawab meletakkan 4 raja di 4 penjuru dunia dng 4 perbedaan cuaca dan bentuk muka bumi: Dataran Bawah, Atas, Bukit dan Gunung. Kaum Hurmus bertukar menjadi angkuh, sombong, bongkak, mungkar dan kufur setelah diajarkan berbagai ilmu oleh Nabi Idris AS...Berkesudahan dibinasakan Allah dng banjir besar yg membenam daratan bawah yg didiami oleh kaum Hurmus di zaman Nabi Nuh AS. Bermula dri kejadian itu maka terpisahlah 72 kaum dng 72 asas bhs diberpuluh ribu pulau, tanah besar dan benua benua...Antaranya adalah Kaum Dataran Bukit atau Kaum Mala dng asas bhs yg dipanggil Austronesia. Kaum Mala menerima AGAMA HANIF, AJARAN IBRAHIM yg disebarkan oleh penutur bhs Indo-Iranian dan Indo-Aryan dari jurai Nabi Allah Ismail, melalui Jalan Sutera. Bhs campuran Indo-Iranian, Indo-Arya dan Malayo Austronesia dijadi IBU pada bhs Sanskrit, begitu juga dng tulisan rasmi kaum Mala iaitu tulisan Pallawa yg berasal dri Persia dan Pahlavi turut dijadikan INDUK pada tulisan Sanskrit. Kaum Mala yg berjaya menubuhkan kerajaan sendiri akhirnya dikenali sebagai KERAJAAN dan BANGSA MALA-UR (UR adalah nma negara kelahiran Nabi Ibrahim AS) manakala Kerajaannya pula dipanggil Kerajaan Mala UR Kethaha dlm sebutan Indo-Iranian.